Politik

Isham Jalil istiqomah atau habis madu sepah dibuang?

Ditamatkan khidmat Ketua Penerangan BN Selangor serta-merta

SEMEMANGNYA kita semula lihat, bekas Ketua Penerangan Barisan Nasional (BN) Selangor, Isham Jalil menerima dengan hati terbuka keputusan kepimpinan BN negeri itu yang menamatkan perkhidmatannya berkuat kuasa serta-merta dengan alasan jawatan berkenaan tidak temaktub dalam Perlembagaan parti.

Isham bagaimanapun menyatakan akan terus membantu BN sebaik mungkin dengan apa yang termampu walaupun tanpa sebarang jawatan dan berjuang sebagai ahli biasa seperti sebelum ini.

Pelik apabila jawatan yang tiada dalam Perlembagaan parti, diwujudkan dan disandang oleh Isham selama ini. Ramai yang tertanya-tanya, apakah punca yang menyebabkan Isham dipecat serta-merta?

Adakah kerana Isham melawan orang tertentu dalam parti secara terang-terangan atau sikapnya yang tegas dan berpendirian tidak disenangi dan dilihat menjadi ancaman kepada ‘musuh dalam selimut’ Isham Jalil?

Ataupun ada yang tidak senang dengan keagresifan beliau berkempen bagi memenangkan UMNO dalam dua Pilihan Raya Negeri (PRN) lalu iaitu PRN Melaka dan PRN Johor?

Nampak ketara apabila PRN Johor pada 12 Mac lalu, Isham berkampung di Johor Darul Takzim selama lebih tiga bulan.

Beliau bersungguh-sungguh turun ke akar umbi bagi menjelaskan hala tuju parti dan memenangkan parti.

Untuk makluman, surat ‘beracun’ menamatkan perkhidmatan Isham bertarikh 3 Jun itu dikemukakan oleh Setiausaha BN Selangor, Datuk Dr Mohamad Satim Diman.

Mohamad Satim yang memaklumkan Pengerusi Jawatankuasa Penyelaras BN Selangor telah bersetuju agar perkhidmatan Isham sebagai Ketua Penerangan BN Selangor ditamatkan berkuat kuasa serta-merta.

“Keputusan ini dibuat melalui perbincangan bersama Pengerusi BN Malaysia (Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi) dengan merujuk kepada Fasal 23 Perlembagaan BN.

Rujukan di mana tidak termaktub dan tertera di dalam Perlembagaan bagi Pengerusi Jawatankuasa BN Negeri untuk melantik Ketua Penerangan,” menurut intipati surat itu.

Tiada lagi alasan lain yang dinyatakan mengapa khidmat Isham tidak lagi diperlukan.

Mungkin kerana Isham dilihat sebagai calon berpotensi untuk menjadi Menteri Besar Selangor akan datang atau dalam istilah bahasa Inggeris, THE NEXT MENTERI BESAR SELANGOR.

Isham pernah ditanya, apakah beliau menyasarkan jawatan itu tetapi tidak pernah dijawabnya.

Beliau sekadar bercakap tentang perjuangan UMNO, memperkukuhkan parti dan meletak kembali BN di landasan yang betul, kemas dan mampu menjadi kerajaan selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) nanti.

Pengalaman Isham dan keintelektualan yang dipaparkan oleh graduan Harvard ini layak sekiranya beliau menjadi Menteri Besar Selangor selain rekod bersih tanpa rasuah.

Isham yang juga bekas pegawai khas Datuk Seri Najib Razak dilantik sebagai Ketua Penerangan BN Selangor pada 31 Mei 2020 menggantikan Datuk Abd Rahman Bakri.

Ternyata sebelum ini, Datuk Abd Rahman Bakri menyandang jawatan Ketua Penerangan BN Negeri Selangor dan pada ketika itu, tidak pula dibangkitkan jawatan itu tiada dalam Perlembagaan parti.

Sekarang, Pengerusi BN, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi perlu tampil dengan pencerahan agar tiada kekeliruan tentang jawatan yang tiada dalam perlembagaan parti. – SM

(Visited 407 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button