Politik

PRN Sabah: Jiwa besar Pas dan perangkap musuh

PAS memberikan dua alasan yang mewajarkan tindakan mereka tidak bertanding pada pilihan raya negeri (PRN) walaupun pada mulanya ada desakan daripada parti itu untuk meletakkan calon.

Yang pertama ialah ia menunjukkan Pas sebuah parti yang berjiwa besar kerana lebih mengutamakan permuafakatan daripada kehendak parti dan yang kedua untuk mengelakkan daripada masuk ke perangkap musuh.

Timbalan Presiden Pas Tuan Ibrahim Tuan Man mengekui memang ada desakan supaya Pas memberi laluan dengan tidak bertanding di PRN Sabah ketika proses rundingan kerusi.

Namun katanya, mereka akur untuk tidak bertanding lebih kepada untuk mengelakkan pertembungan sesama sendiri yang hanya akan merugikan muafakat.

Katanya, keputusan untuk PAS tidak bertanding itu dilakukan bagi mengelak daripada perangkap yang dipasang oleh musuh.

“Dari segi strategi politik ini macam-macam tapi kita menerima (keputusan). Sebenarnya PAS terlibat dari awal lagi perundingan dan perbincangan (kerusi).

“Cuma apabila dibuat keputusan, walaupun PAS mendesak supaya diberi laluan tetapi ada beberapa masalah dan perkara. Kita fikir kita (perlu) berjiwa besar, kita bersetuju dengan pandangan presiden.

“Menghadapi pilihan raya ini perlu strategi yang betul. Jadi kita mengelak perangkap yang dipasang musuh. Jika kita bertanding akan timbul bertembungan sesama sendiri, natijahnya adalah kerugian kepada muafakat,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Muktamar Pemuda PAS kali ke-61 di Pusat Tarbiyah Islamiyah Kelantan (Putik), Kota Bharu, hari ini.

Pas mengambil pendirian untuk memberi laluan kepada sekutunya dalam Perikatan Nasional (PN) dalam PRN Sabah, bagi mengelakkan pertembungan dengan calon parti sekutunya.

Perkara itu diputuskan presidennya Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Tuan Ibrahim yang juga ahli Parlimen Kubang Kerian mengakui wujud rasa kecewa susulan keputusan itu namun yakin perkara itu boleh diatasi.

“Kita boleh urus, insya-Allah ahli Pas ini terkenal dengan ahli yang patuh dengan keputusan parti. Sebab bagi kita untuk elak pertembungan sama-sama kita, kita berpegang keputusan parti.

“Alhamdulillah walaupun rasa kecewa di mana-mana tak boleh nafi, tapi secara keseluruhan kepimpinan PAS di Sabah dan jentera akur dengan keputusan dan kenyataan yang dibuat oleh presiden,” jelasnya. – SM

(Visited 125 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button