Hiburanpilihan

Tak pakai pelitup muka di mahkamah, Neelofa disiasat lagi

USAHAWAN dan selebriti, Neelofa disiasat lagi dan kali ini kerana didakwa tidak memakai pelitup muka ketika hadir ke Komplekas Mahkamah Seremban, Negeri Sembilan semalam.

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Mohd. Said Ibrahim berkata, pihaknya turut menerima laporan polis berkenaan perkara tersebut.

“Semalam tular di media sosial bahawa Neelofa hadir ke Mahkamah Majistret dengan mengenakan niqab tanpa memakai pelitup muka.

“Laporan polis diterima kerana tindakan tidak mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) pemakaian pelitup muka sepertimana diwajibkan pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) kepada semua orang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Mohd. Said, peraturan itu termasuklah kepada mereka yang mengenakan niqab penuh atau separuh.

Ujarnya, penjelasan berkenaan perkara ini telah dikeluarkan juga oleh KKM setelah Kerajaan mewajibkan pemakaian pelitup muka di semua tempat awam mulai 1 Ogos 2020.

“Oleh yang demikian, satu siasatan telah dijalankan di bawah Seksyen 269 Kanun Keseksaan [Akta 574] dan Peraturan 17(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2021 [P.U.(A)225/2021].

“Kita tidak akan berkompromi dalam mengambil apa jua tindakan bagi memastikan SOP yang telah ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara dan peraturan yang ditetapkan oleh KKM sentiasa dipatuhi,” katanya.

(Visited 524 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button