Hiburan

Pemergian Zulkifli Zain dalam keadaan tenang

SEKITAR waktu Maghrib semalam, seniman veteran, Allahyarham Datuk Zulkifli Zain meninggal dunia di rumahnya di Ukay Perdana, Selangor, di samping dua anaknya.

Ramai rakan-rakan artis terutamanya golongan veteran berkongsi kesedihan yang apa yang berlaku menerusi ucapan-ucapan mereka di laman sosial masing-masing.

Hail Amir antara individu yang cuba berhubung dengan Zulkifli dan hanya mampu bercakap dengan anak sulung allahyarham, Dr. Norzizi sahaja.

Majlis tahlil yang diadakan malam tadi juga dihadiri ramai rakan artis antaranya Datuk Yusof Haslam, Eman Manan, Hail Amir dan Fara Fauzana.

Zulkifli memulakan kerjayanya dalam bidang seni pada era 70an menerusi filem pertama yang dilakonkan iaitu pada tahun 1975 berjudul Jiwa Remaja.

Selepas itu, Allahyarham terus berada dalam dunia seni dan mula dikenali menerusi filem berjudul Permintaan Terakhir dan Tiada Esok Bagimu.

Dunia seni juga menyaksikan Allahyarham bertemu dengan isterinya, Normala Omar ketika pasangan ini sama-sama terlibat dengan drama berantaian, Opah yang cukup popular satu ketika dahulu.

Hasil perkahwinan bersama Normala, pasangan ini dikurniakan lima orang cahaya mata iaitu Dr. Norzizi, 44; Norzaza, 38; Norzazila, 36; Norzazleen, 33 dan Muhammad Noor Zabaiq, 29. Allahyarham meninggalkan tujuh orang cucu.

Selain bergiat aktif dalam dunia seni, Allahyarham juga merupakan bekas Presiden Persatuan Kebajikan Artis Veteran Malaysia (PKAVM).

Mungkin kerana jasanya sebagai Presiden dalam membantu rakan seniman veteran yang lain menyaksikan Allahyarham menghembuskan nafas terakhirnya dengan tenang.

Bercerita mengenai tahap kesihatan Zukifli, pada Mac lalu, seniman itu dilaporkan berada dalam keadaan kritikal apabila disahkan mengalami pendarahan dalam otak.

Allahyarham kemudian dibawa ke Hospital Sungai Buloh selepas didapati mempunyai jangkitan kuman dan darah dan masalah buah pinggang.

Selain itu, Allahyarham juga pernah diserang angin ahmar pada 2016.

Hari ini, jenazah Allahyarham akan dibawa ke Masjid Ukay Perdana kira-kira pukul 9 pagi untuk disolatkan.

Jenazah kemudian akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Ukay Perdana yang dijangka sebelum waktu Zohor. -SM

(Visited 857 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button