Nasional

Ibu bapa remaja engkar PKP juga boleh dikenakan tindakan

IBU bapa dan penjaga kepada remaja di bawah umur 18 tahun yang ditangkap kerana engkar Perintah Kawalan Pergerakan juga boleh dikenakan tindakan undang-undang.

Bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan berkata, ibu bapa dan penjaga terbabit ternyata mengabaikan anak-anak mereka sehingga mendedahkan remaja terbabit terhadap bahaya jangkitan COVID-19.

Ibu bapa dan penjaga terbabit boleh diambil tindakan undang-undang di bawah Akta Kanak-Kanak.

“Remaja-remaja yang berumur 18 tahun ke bawah yang engkar PKP bila dikenakan tindakan, penjaga atau ibu-bapa juga boleh diambil tindakan.

“Kerana abai menjaga anak-anak mereka dan mendedahkan mereka kepada bahaya iaitu jangkitan COVID-19 dibawah Akta Kanak-Kanak,” ciap Musa di Twitternya.

Ketika ini mereka yang ditahan kerana engkar arahan PKP boleh didakwa di bawah Peraturan 3 (2) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020.

Kesalahan itu boleh dihukum mengikut Peraturan 7, yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM1,000 atau penjara tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya sekali bagi setiap tertuduh.

Isu remaja melanggar PKP menjadi perbualan ekoran insiden seorang pegawai polis ‘menyebat’ kumpulan enam remaja lelaki kerana ingkar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dalam satu kejadian di Kunak.

Sebelum kejadian itu pegawai berkenaan telah menegur kumpulan itu sebanyak dua kali tetapi mereka tetap tidak bersurai malah mentertawakan teguran berkenaan sambil menghisap rokok.

Kejadian itu berlaku di Kampung Pangi Tengah, Kunak ketika pasukan polis sedang membantu menyampaikan bantuan kepada penduduk kampung sebelum terserempak dengan kumpulan yang sedang berkumpul.

Selepas selesai mengagihkan bantuan berkenaan, pihak polis terserempak lagi dengan kumpulan remaja berkenaan yang masih tidak mendengar teguran, menyebabkan pegawai berkenaan bertindak menyebat semua  remaja berkenaan.

Kejadian itu telah dirakam dan klip video yang tular memaparkan seorang pegawai polis bertindak menyebat enam mereka berkenaan menggunakan ranting kayu kerana ingkar arahan untuk balik ke rumah masing-masing.

Video berkenaan mendapat pelbagai reaksi di media sosial terutama golongan netizen yang memuji langkah pihak berkuasa yang tegas dalam melaksanakan tugas memastikan rakyat mematuhi PKP.

Bagaimanapun, ada juga segelintir pengguna alam maya yang mempersoalkan tindakan memukul itu kerana dikatakan boleh mendatangkan kecederaan kepada remaja terbabit. -SM

(Visited 205 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button