NasionalPendidikanRencah Hidup

Pensyarah  UPM, Dr. Norazlina Mohd Kiram menjulang Bahasa Melayu di Frankfurt

EKSKLUSIF DARI FRANKFURT, JERMAN

MENJULANG dan memartabatkan bahasa Melayu sudah sebati dalam diri pensyarah di Jabatan Bahasa Melayu, Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof. Madya Dr. Norazlina Mohd Kiram.

Pada masa ini, Dr. Norazlina, 49, sedang menjalani latihan sabatikal di Fakulti Linguistik, Budaya dan Seni, Universiti Goethe Frankfurt, Jerman dan  merupakan Felo Penyelidik di Jabatan Pengajian Asia Tenggara.

Walaupun terpaksa berjauhan dengan keluarga di Malaysia hampir setahun, namun demi tugas dan tanggungjawab, Dr. Norazlina sanggup meredah segala cabaran dengan hati yang terbuka.

Dr. Norazlina juga pernah beberapa kali diundang ke pejabat SUARA MERDEKA di Kuala Lumpur untuk ditemu bual secara langsung oleh penulis berkaitan dengan penggunaan bahasa Melayu secara komprehensif sebelum beliau berangkat ke Frankfurt, Jerman.

Dr. Norazlina yang dihubungi di Frankfurt oleh wartawan SUARA MERDEKA memberitahu, pada 19 Julai ini, akan diadakan Pertandingan Pidato Antarabangsa Bahasa Melayu (Teknik PDPIPS) bertempat di Dewan H10, Kampus Westend, Universiti Goethe Frankfurt, bermula pada jam 2 sehingga 5 petang waktu tempatan.

Menurut Dr. Norazlina, pertandingan pidato ini merupakan anjuran bersama Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi (UPM), Universiti Goethe Frankfurt dan Konsulat Jeneral Malaysia Frankfurt.

“Saya sangat bersyukur kerana penganjuran Pertandingan Pidato Antarabangsa Bahasa Melayu (Teknik PDPIPS) ini telah mendapat sokongan daripada pelbagai pihak.

“Selain penganjur bersama, sumbangan juga diterima daripada YB Datuk Dr. Hj. Mohd Arifin Datuk Hj. Mohd Arif, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dan Tourism Malaysia,” katanya.

Cora Schaaf

Beliau berkata, tajuk pidato bertemakan lapan peribahasa Melayu, iaitu:

Seumpama telur sesarang dierami induknya

Hujan tempat berteduh panas tempat berlindung 

Air di genggam, tiada tiris

Terapung sama hanyut, terendam sama basah

Di mana ada kemahuan, di situ ada jalan

Biar salah kain, jangan salah mulut

Bagai aur dengan tebing

Hilang bahasa, lenyap bangsa

Morten Mehrer

 “Saya sendiri yang menulis kelapan-lapan teks pidato dan saya juga akan memberikan latihan dan bimbingan pengucapan kepada semua peserta.

“Berpidato di hadapan khalayak bukanlah mudah. Begitu juga untuk melatih individu berpidato, terutama penutur bukan natif.

“Ada cabaran yang tersendiri kerana potensi setiap peserta adalah berbeza-beza. Oleh itu, aspek sebutan, tekanan, nada dan intonasi diberikan tumpuan semasa sesi latihan”, jelas Dr. Norazlina.

Dr. Norazlina juga berkata, lapan peserta dari Jabatan Pengajian Asia Tenggara, Universiti Goethe, Frankfurt akan mengambil bahagian dalam pertandingan ini.

Haifaa Tahert

Tujuh daripada peserta berasal dari Jerman dan seorang dari Indonesia, iaitu Alica Selker, 21, Anna David, 27, Cora Schaaf, 24 tahun, Haifaa Tahert, 22, Julia Meier, 23, Lala Barzanzia Harley, 26, Morten Mehrer, 21, dan Rania Ajaoun, 21.

“Untuk merancakkan pertandingan, pihak penganjur turut menyediakan hadiah kepada pemenang, iaitu Johan akan menerima  €200, piala dan sijil, Naib Johan €150, piala dan sijil, tempat ketiga €100, piala dan sijil. Tempat keempat hingga kelapan, masing-masing akan menerima €50 dan sijil”, katanya.

Menjawab soalan wartawan, siapakah yang mencetuskan idea untuk mengadakan Pertandingan Pidato Antarabangsa Bahasa Melayu (Teknik PDPIPS), Dr. Norazlina menjelaskan bahawa idea tersebut datang daripada beliau sendiri. Semuanya disebabkan minat yang mendalam dalam bidang pengucapan awam dan perasaan cinta akan bahasa Melayu.

Sudah lebih daripada 30 tahun , beliau terlibat dalam dunia pidato dan debat. Banyak kenangan manis dan kejayaan yang diperoleh termasuklah Johan Pidato Piala Diraja (Selangor – 1991), Tempat Ketiga Pidato Piala Diraja (Kebangsaan – 1991), Johan Pidato Piala YB Railey Haji Jeffrey, Johan Pidato Piala Penerangan (Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur), Johan Debat Panjang Akal TV3, Pendebat Terbaik Debat ASEAN, Johan Pidato Semarak Merdeka 2019 dan Naib Johan Gegar  Pidato Piala Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam 2019.
Dr. Norazlina juga pernah memenangi Anugerah Fellowship Naib Canselor (2016), kategori Pengajar Cemerlang. Beliau juga merupakan finalis Anugerah Akademik Negara (AAN) 2021 bagi kategori Pengajaran.

Dr. Norazlina berkata, tugas beliau sebagai ahli akademik secara tidak langsung dapat membantu negara untuk memartabatkan bahasa Melayu di pentas antarabangsa.

Justeru, beliau telah mencadangkan kepada Ketua Jabatan Pengajian Asia Tenggara untuk menawarkan kursus Pengucapan Awam dalam Bahasa Melayu kepada mahasiswa.

Dr. Norazlina berkata, “Tiada kursus bahasa Melayu di Universiti Goethe, jadi  tindakan segera perlu dilakukan untuk memperkenalkan kursus bahasa Melayu kepada mahasiswa, sekali gus memperkenalkan adat dan budaya Timur”.

Bersama Ketua Jabatan Pengajian Asia Tenggara, Goethe University Frankfurt
Profesor Dr. Arndt Graf.

Usaha Dr. Norazlina ini telah mendapat sokongan daripada Ketua Jabatan Pengajian Asia Tenggara,  Prof. Dr. Arndt Graf.

“Alhamdulillah, Terima kasih kepada Prof. Dr. Arndt Graf, penyelia saya yang memberikan ruang dan peluang ini. Juga kepada Dekan Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, Ketua Jabatan Bahasa Melayu dan rakan-rakan, yang sentiasa menyokong usaha saya untuk mendaulatkan bahasa Melayu.

“Bermula semester April yang lalu, kursus tersebut telah ditawarkan kepada mahasiswa”, katanya.

Menurut Dr. Norazlina, beliau mengajar secara percuma dan sangat gembira kerana dapat menyumbang bakti kepada negara dengan cara sendiri.

“Apa sahaja tentang bahasa kebangsaan negara, saya akan berikan yang terbaik. Inilah sumbangan kecil saya terhadap misi pengantarabangsaan bahasa Melayu”, kata Dr. Norazlina.

Penganjuran pertandingan Pidato Antarabangsa Bahasa Melayu (Teknik PDPIPS) merupakan kemuncak kepada usaha Dr. Norazlina untuk memartabatkan bahasa Melayu di luar negara. Umpama serampang dua mata, selain menjulang bahasa Melayu di bandar Frankfurt, Dr. Norazlina juga menjalankan penyelidikan berkaitan bahasa, adat dan budaya.

Pengalaman beliau sebagai pemidato, pendebat, penceramah dan juri juga telah mendorong Dr. Norazlina untuk memperkenalkan Teknik PDPIPS bagi membantu pemidato menghasilkan teks pidato yang berstruktur dan mengandungi satu kesatuan idea.

Apakah PDPIPS? Menurut Dr. Norazlina, akronim PDPIPS  bermaksud Pengenalan, Definisi, Pendirian, Isi, Penutup dan Saranan. Dengan teknik ini, pemidato dapat menyusun idea secara teratur dan menggunakan kreativiti bahasa untuk menarik minat pendengar.

Teknik PDPIPS turut memberikan perhatian kepada penggunaan bunga bahasa seperti peribahasa, pantun dan kata-kata hikmah dalam ucapan. Hal ini mencerminkan keperibadian pemidato yang santun berbahasa, sekali gus mengangkat keindahan bahasa Melayu.

Penulis juga telah mendapatkan pandangan Konsul Jeneral Malaysia Frankfurt, Farzamie Sarkawi berkenaan penganjuran Pertandingan Pidato Bahasa Melayu.

Menurut beliau, perwakilan-perwakilan Malaysia di seberang laut termasuk di Jerman iaitu Kedutaan Besar Malaysia di Berlin, Konsulat Jeneral Malaysia di Frankfurt dan agensi-agensi kerajaan Malaysia sentiasa proaktif dan bekerjasama untuk mempromosikan keunikan budaya dan identiti Malaysia.

Farzamie berkata, “Selain garapan visual seperti seni persembahan, filem dan pakaian tradisional; keunikan selera melalui gastronomi dan seni kulinari; aspek sastera dan bahasa juga amat besar nilainya untuk dipromosikan sebagai refleksi identiti dan pemikiran Malaysia.

“Usaha mempromosikan bahasa adalah selari dengan hasrat Kerajaan untuk memartabatkan bahasa Melayu di rantau Asia Tenggara dan persada antarabangsa”.

Bercakap tentang hubungan erat dengan ahli akademik, beliau berkata, pihak Konsulat Jeneral sangat berbesar hati jika diberikan peluang untuk bekerjasama dengan ahli akademik dan ahli bahasa bagi menjayakan program kebahasaan.

“Kita sedia maklum bahawa bahasa memainkan peranan penting dalam pembinaan tamadun bangsa. Bahasa secara dasarnya merupakan cerminan jati diri penuturnya, yang ditampilkan melalui pelbagai spektrum termasuklah bahasa dan karya sastera.

“Oleh itu, penganjuran pertandingan Pidato Antarabangsa Bahasa Melayu di Universiti Goethe Frankfurt pada tahun ini merupakan landasan terbaik untuk mengembangkan bahasa Melayu, sekali gus meningkatkan pengetahuan dan minat penutur bukan natif terhadap ciri-ciri kebudayaan, peradaban dan pemikiran bangsa melalui bahasa dan sastera,” katanya.

Apabila ditanya berkaitan perkongsian ilmu dan kepakaran oleh Dr. Norazlina, Farzamie menyatakan, “Pendekatan Teknik PDPIPS boleh dijadikan pemangkin untuk menarik minat mahasiswa untuk menyambung pengajian dalam bidang bahasa Melayu di Malaysia.

“Jika bahasa negara kita maju, maka ia turut menjulang budaya dan peradaban bangsa.”

Justeru, penglibatan Konsulat Jeneral Malaysia di Frankfurt sebagai penganjur bersama dalam program ini adalah kerana rasa cinta kepada bahasa ibunda dan komitmen kami terhadap usaha pemartabatannya, katanya.

Menjulang bahasa Melayu di negara orang bukanlah mudah. Dr. Norazlina berkata, “Misi mengembangkan bahasa Melayu di Jerman memerlukan komitmen yang tinggi, keberanian dan ketabahan jiwa. Jika fizikal dan mental tidak kuat, usaha pengantarabangsaan bahasa Melayu hanya sekadar di bibir.

Oleh itu, kita mesti mempunyai jiwa yang besar dan kekuatan yang luar biasa untuk melangkah ke hadapan, jelas Dr. Norazlina lagi.

Beliau juga sangat bersyukur kerana impiannya untuk menganjurkan pertandingan pidato di luar negara sejak sekian lama, akhirnya menjadi kenyataan.

“Saya perlu berterima kasih kepada ahli keluarga yang menjadi tulang belakang saya selama ini.

“Juga kepada semua pihak yang memberikan sokongan berterusan dalam pelbagai bentuk”, katanya.

Di akhir perbualan, Dr. Norazlina menitipkan kata-kata seperti berikut, “Saya cinta akan bahasa Melayu, dulu, kini dan selamanya”. – SM

BACA Wajarkah SPM dan STPM dimansuhkan?

BACA Anwar: Usaha martabatkan Bahasa Melayu memerlukan komitmen masyarakat

(Visited 552 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button