BeritaNasionalPendidikanUncategorized

Wajarkah SPM dan STPM dimansuhkan?

PROF. Madya Dr Norazlina Mohd Kiram dari Universiti Putra Malaysia (UPM) menzahirkan pandangannya yang dikongsi di akaun Facebook milik beliau tentang pemansuhan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Peperiksan Malaysia (STPM).

Berikut adalah catatan dan pandangan beliau.

Secara peribadi saya tidak bersetuju.

SPM dan STPM masih relevan dikekalkan dan penilaian perlu dilaksanakan secara menyeluruh iaitu tidak berorientasikan peperiksaan semata-mata.

Dalam hal ini, Kementerian Pelajaran (KPM) perlu melakukan penambahbaikan segera terhadap sistem penilaian, pentafsiran, kurikulum dan silibus secara sistematik selari dengan perkembangan teknologi digital.


Penilaian mestilah mengambil kira potensi, bakat dan minat pelajar yang berbeza-beza.

Setiap pelajar perlu diberi peluang untuk menonjolkan kelebihan, sekali gus meningkatkan pencapaian akademik mengikut kemampuan diri.

Benar, keputusan SPM dan STPM bukanlah penentu kejayaan individu tetapi kita tidak boleh menafikan bahawa perlu ada satu kaedah untuk mengukur penguasaan pelajar dalam bidang akademik.

Keputusan yang diperoleh dapat membantu pelajar untuk membuat pilihan sama ada menyambung pengajian dalam bidang akademik atau memperkukuh kemahiran insaniah dalam bidang yang diminati.

Semua jalan terbentang luas dan sesiapa sahaja boleh mencipta kejayaan mengikut pilihan masing-masing.

Ada yang berpandangan bahawa pemansuhan SPM dan STPM perlu dilakukan dengan segera.

Antara justifikasi yang diberikan ialah ibu bapa tidak lagi pening kepala untuk memastikan anak-anak mendapat gred A dan tidak perlu membuat perbandingan pencapaian dengan anak-anak lain.

Persoalannya, adakah SPM dan STPM perlu dimansuhkan semata-mata untuk memenuhi keinginan ibu bapa yang mementingkan diri sendiri?

Adakah wajar gred A dijadikan ukuran kejayaan? Adakah perlu dibandingkan pencapaian anak sendiri dengan anak orang?

Apakah pula perasaan ibu bapa jika anak-anak mereka membuat perbandingan dengan ibu bapa yang lain? Adilkah?

Saya percaya masih ramai ibu bapa di luar sana yang memberi sokongan kepada anak-anak secara berterusan.

Kita semua tahu peranan ibu bapa untuk membentuk keperibadian unggul anak-anak tidak mudah.

Dalam konteks peperiksaan SPM dan STPM, ibu bapa perlu menyedarkan anak-anak tentang tugas mereka sebagai pelajar dan kepentingan menimba ilmu.

Ada amanah yang perlu digalas dengan sebaik mungkin.

Sebagai pelajar, mereka perlu belajar bersungguh-sungguh, berusaha dengan gigih dan fokus semasa menjawab peperiksaan.

Jika keputusannya cemerlang, raikanlah kejayaan tersebut dengan peringatan bahawa kejayaan yang diperoleh bukan penentu segalanya.

Masih banyak cabaran yang perlu dilalui.

Jika keputusan tidak seperti yang diharapkan, raikan anak-anak dengan kata-kata semangat supaya mereka tidak berputus asa.

Masih banyak ruang lain untuk mencipta kejayaan selagi kita berusaha.

Sekali gagal bukan bermakna gagal selamanya.

Jika kegagalan disebabkan kealpaan sendiri, raikan anak-anak dengan peringatan yang bermakna bahawa hidup bukan seperti Que Sera Sera.

Apa yang kita mahu maka kita akan dapat apa yang kita mahukan.

Sebaliknya, kejayaan tidak datang bergolek tetapi memerlukan usaha dan pengorbanan.

Demikian ungkapan Allahyarham Prof. Diraja Ungku Aziz.

Bantulah anak-anak untuk bangkit semula dan belajar daripada kesilapan lalu.

Kesilapan itu pengalaman dan pengalaman itulah yang mendewasakan kita.

Justeru tidak timbul soal berapa banyak A dan banding membanding antara satu dengan lain.

Ibu bapa merupakan orang yang paling dekat dengan anak-anak.

Beri mereka motivasi dan inspirasi berterusan untuk menjadi modal insan yang cemerlang di dunia dan di akhirat.

SPM dan STPM…kekalkan! – SM

 

(Visited 3,798 times, 1 visits today)

Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button