BeritaNasionalPendidikan

Ibu bapa ada anak duduki SPM tolak tetamu luar Perlis

PERINGATAN untuk ibu bapa yang mempunyai anak yang menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) supaya tidak menerima tetamu luar dari negeri Perlis bagi mengekang penularan pandemik Covid-19.

Pengarah Pendidikan Perlis, Naharudeen Othman berkata, ibu bapa bukan sahaja perlu menjaga diri sendiri serta ahli keluarga lain tetapi mengawal pergerakan anak yang menduduki SPM supaya tidak keluar merata-rata.

NAHARUDEEN Othman (kiri) meninjau dari luar, calon-calon yang menduduki peperiksaan SPM di SMK Kuala Perlis di Kuala Perlis pagi tadi.

“Nasihat ini juga meliputi pengawas peperiksaan dan guru yang terlibat sepanjang tempoh peperiksaan SPM ini berlangsung supaya tidak terkesan dengan penularan pendamik Covid-19,” katanya.

Naharudeen berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan lawatan meninjau calon-calon yang menduduki peperiksaan SPM di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kuala Perlis, pagi ini.

Turut hadir, Pengetua SMK Kuala Perlis, Hamidi Md. Saad.

Naharudeen berkata, sebanyak 3,598 calon yang menduduki SPM 2021 di 36 pusat peperiksaan dan enam calon menduduki peperiksaan tersebut di wad Hospital Tuanku Fauziah (HTF), Perlis, tahun ini.

Beliau berkata, sebanyak 3, 116 melibatkan calon sekolah kerajaan, sekolah bantuan penuh kerajaan dan sekolah agama bantuan penuh kerajaan.

“Sebanyak 244 calon Maktab Rendah Sains MARA (MRSM), 77 dari sekolah swasta berdaftar MATRI, 34 calon sekolah agama rakyat MADI dan 127 calon persendirian,” katanya.

Tambahnya, terdapat 14 Calon Berkeperluan Khas (CBK).

PELAJAR mematuhi SOP yang ketat sebelum memasuki dewan peperiksaan di SMK Kuala Perlis di Kuala Perlis hari ini.

Naharudeen berkata, mana-mana pelajar yang menjalani kuarantin dengan surat dikeluarkan oleh Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) boleh mengambil kertas ulangan pada peperiksaan yang tidak dapat hadir.

“Jika sudah sembuh kena hadir menduduki peperiksaan mengikut jadual seperti biasa dan tiada kertas ulangan,” katanya.

Beliau berkata, pihak jabatan juga menubuhkan Jawatankuasa Khas bagi membantu sekolah berhubung dengan Covid-19.

Naharudeen berharap semua calon SPM jujur dalam membuat deklarasi bebas Covid-19 sebelum masuk ke dewan peperiksaan.

Naharudeen berkata, sebanyak 272 petugas khas dilantik yang meliputi lapan penyelia kawasan, 36 Ketua Pengawas, 228 Pengawas bagi menjalankan operasi di 36 pusat peperiksaan di seluruh Perlis.

Katanya lagi, setakat ini pihaknya telah bersedia dengan pegawas simpanan jika mendapati pengawas dilantik disahkan positif Covid-19 atau menjalani kuarantin.

Beliau berkata, setakat ini hanya 10 hingga 15 peratus sahaja pengawas terbabit positif Covid-19 dan menjalani kuarantin. – SM

(Visited 598 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button