Nasional

Hishammuddin ambil alih tugas Ismail Sabri mulai esok

Menteri Kanan Keselamatan yang baharu Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussin akan mengambil alih tugas berkaitan Covid-19 daripada Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bermula esok.

Ismail Sabri yang juga Menteri Pertahanan memikul tugas berkenaan sejak setahun, empat bulan dan enam hari. Tugasan beliau termasuk mengeluarkan semua kenyataan media harian berkaitan Task Force Operasi Pematuhan dan  menguatkuasaan undang-undang di bawah Akta 342 bagi mengawal penularan wabak COVID-19.

“Setiap hari juga saya menerima serta mengumumkan laporan berkenaan pematuhan SOP, kawalan sempadan negara dan lain-lain perkara dari semua agensi terlibat bagi memberi penjelasan kepada rakyat Malaysia berkenaan situasi semasa keselamatan dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berkenaan COVID-19 dan Pelan Pemulihan Negara (PPN).

“Seperti yang semua maklum Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein telah dilantik sebagai Menteri Kanan Luar Negeri (Kluster Keselamatan) apabila saya dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri. Sebagai Menteri Kluster Keselamatan yang baharu, maka beliau akan mengambil alih tugas yang saya laksanakan sebelum ini berkenaan dengan COVID-19.

“Sehubungan itu, mulai esok, 27 Julai 2021, tugasan pengumuman harian berkaitan aktiviti penguatkuasaan serta Prosedur Operasi Standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akan diteruskan oleh Menteri Kanan Luar Negeri (Kluster Keselamatan),” katanya dalam satu kenyataan.

Sementara itu, bagi melaksanakan tugas terakhirnya, Ismail Sabri mengumumkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di 13 lokaliti bermula 28 Julai hingga 10 Ogos.

Beberapa lokasi membabitkan Sabah iaitu Kampung Menengah, Kampung Buang Sayang dan Kampung Pasir Putih Sipitang di Sipitang; Kampung Kauran, Keningau; Kampung Mostyn Lama, Kunak; Perumahan Ladang Pontian Kuril, Kinabatangan; Taman Kinarut Ria, Papar; dan Kampung Tawadakan, Kota Belud.

Tiga lokaliti di Pahang melibatkan Sungai Klau dan Sungai Chalit, Mukim Gali, Raub; Tapak Bina IBN Highland Genting Highlands, Bentong dan Kampung Pagar Batu 6 Penjom, Lipis dan Kampung Telaga Tujoh, Labok, Machang, Kelantan.

PKPD di kawasan sekitar Kampung Patikang Ulu, Keningau, Sabah melibatkan Kampung Patikang Ulu, kilang dan kuarters Focus Lumber; kilang dan kuarters Veracity, kilang dan kuarters Hasil Jadi, Pusat Memandu IDA dan Penempatan Warga Indonesia dilanjutkan sehingga 10 Oktober.

Turut dilanjutkan FELDA Maokil, Muar, Johor dan Kampung Madsiang, Penampang, Sabah.

PKPD di lapan lokaliti ditamatkan esok melibatkan FELDA Lembah Klau, Mukim Gali, Raub dan Flat Taman Benus Jaya, Bentong, Pahang; Taman Muhibbah Fasa 1, 2 dan 3, Beaufort dan Apartment Beverly Hills Fasa 2 dan Kampung Kobusak di Penampang, Sabah.

Turut ditamatkan Kampung Kendaie dan Kampung Bukit Batu, Lundu, Kuching, Sarawak serta Kampung Bukit Tanah, Mukim Bukit Jawa, Pasir Puteh, Kelantan.

Semalam 438 individu ditahan atas kesalahan ingkar prosedur operasi standard. Daripada jumlah itu, seramai 434 individu dikompaun manakala empat lagi direman.

Sebanyak 31 premis meliputi empat buah kilang dan 27 premis perniagaan diarahkan tutup kerana gagal mematuhi SOP yang ditetapkan kerajaan.-SM

 

 

 

 

(Visited 546 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button