JenayahNasional

Hanya agensi penguatkuasaan kompeten undang-undang boleh siasat Azam

SEORANG peguam, A Srimurugan berkata, hanya agensi penguatkuasaan yang kompeten dari segi undang-undang boleh menyiasat dan menyerahkan kertas siasatan kepada pendakwa raya berhubung dakwaan salah laku Ketua Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tan Sri Azam Baki.

Memetik laporan FMT hari ini, Srimurugan berkata, sebarang proses undang-undang lain akan menangguhkan siasatan sedemikian, sia-sia dan membuang masa.

Tegas beliau, hanya pendakwa raya boleh merangka tuduhan untuk membuktikan kesnya di mahkamah berdasarkan siasatan yang dijalankan oleh agensi yang mempunyai kuasa undang-undang.

Agensi tersebut, kata Srimurugan termasuk polis, SPRM dan Suruhanjaya Sekuriti.

Beliau berkata demikian sebagai respons kepada kenyataan Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Dr. Mohd. Puad Zarkashi yang menggesa Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob membentuk pasukan petugas khas untuk menyiasat dakwaan terhadap Azam berhubung isu pemilikan saham korporat.

Sementara itu, veteran DAP, Lim Kit Siang pula berkata, kontroversi yang menyelubungi Azam akan diselesaikan dengan lebih baik jika pegawai tertinggi SPRM itu bersedia menghadap Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen untuk membersihkan namanya daripada dakwaan wujudnya konflik kepentingan.

Majlis Peguam turut menggesa agar Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) ditubuhkan bagi menyiasat perkara tersebut.

Minggu lalu, Pengerusi Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR) SPRM, Tan Sri Abu Zahar Ujang berkata, lembaga itu telah membersihkan nama Azam daripada sebarang salah laku.

Bagaimanapun, enam ahli LPPR kemudian menjauhkan diri daripada pandangan Abu Zahar dengan berkata, lembaga itu tiada sebarang kuasa penyiasatan.

Azam disiasat sama ada beliau melanggar mana-mana undang-undang berhubung pemilikan saham dalam syarikat senaraian awam dan kerana membenarkan akaun dagangannya digunakan adiknya pada 2015.

Suruhanjaya Sekuriti berkata, ia akan menyoal Azam mengenai perkara itu.

Berbalik kepada kenyataan Srimurugan, siasatan ke atas Azam boleh diselesaikan dengan lebih cepat jika ia dijalankan oleh agensi penguatkuasaan yang mempunyai kuasa untuk menangkap dan merampas dokumen.

RCI contohnya hanya boleh bertindak berdasarkan terma rujukan yang disediakan kerajaan dan hanya boleh menyediakan penemuan untuk tindakan lanjut oleh agensi penguatkuasaan undang-undang dan pendakwa raya, kata Srimurugan.

“Ini akan menjadi satu pembaziran masa dan sumber kerana RCI tidak membuat keputusan,” katanya selain menambah, inkuiri mengenai isu-isu berkait kepentingan awam sebelum ini tidak memuaskan. – SM

 

(Visited 200 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button