Nasional

Bank Rakyat dan PRESMA meterai memorandum persefahaman

BANK Rakyat, agensi di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC) hari ini menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (PRESMA) bagi memulakan langkah kerjasama strategik untuk memperoleh manfaat bersama.

Ketua Pegawai Eksekutif Bank Rakyat, Datuk Rosman Mohamed berkata, kerjasama antara Bank Rakyat dengan persatuan berkenaan merupakan satu platform yang baik bagi memanfaatkan kebolehan kedua-dua pihak – terutama ketika negara sedang dilanda penularan wabak COVID-19.

“Memandangkan operasi perniagaan tempatan khususnya dalam industri makanan dan minuman turut  terjejas akibat Perintah Kawalan Pergerakan, MoU ini membolehkan kami mengambil langkah awal yang diperlukan untuk menyokong 4,000 ahli PRESMA mendapatkan akses kepada Kemudahan Bantuan Khas (SRF) Bank Negara Malaysia serta Program Pembiayaan Khas Bank Rakyat (BizCare),” ujar  Rosman.

“Baru-baru ini, kami telah melancarkan kempen BizCare dengan peruntukan kemudahan pembiayaan bernilai RM300 juta termasuk penangguhan pembayaran pembiayaan selama 9 bulan untuk membantu usahawan mengekalkan kesinambungan perniagaan mereka dalam masa yang sukar ini. Kempen ini akan berlanjutan selama 6 bulan bermula 23 Mac sehingga 30 September 2020,” ujarnya lagi.

Tambahnya, kerjasama ini juga membolehkan kedua-dua pihak mewujudkan kerjasama erat antara perniagaan dengan institusi perbankan, sekali gus dapat meningkatkan promosi produk komersial dan runcit serta perkhidmatan Bank Rakyat kepada ahli PRESMA.

“Inisiatif ini juga sejajar dengan komitmen Bank dalam membangunkan sistem perbankan Islam yang komprehensif yang akan menyumbang kepada proses pertumbuhan dan pembangunan komuniti, negara dan juga planet,” katanya.

Rosman menandatangani MoU bagi pihak Bank, sementara PRESMA, diwakili oleh Presiden persatuan itu, Datuk Hj Jawahar Ali Taib Khan.

Majlis menandatangani MoU itu yang berlangsung di Menara Kembar Bank Rakyat disaksikan oleh Ketua Pegawai Perbankan Perniagaan Bank Rakyat, Abdul Razak Abu Bakar dan Timbalan Presiden PRESMA, Datuk Mohammed Mosin Abdul Razak.

Bank Rakyat sebelum ini turut menghulurkan sumbangan keapda lima buah hospital di seluruh negara bagi tujuan pembelian makanan dan keperluan asas untuk meringankan bebanan petugas yang berkhidmat dalam menangani penularan wabak Covid-19.

Inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) tersebut telah dibuat sejak 20 Mac 2020 yang lalu menerusi sumbangan kepada Hospital Umum Sarawak, Sarawak.

Bank juga telah menyerahkan sumbangan kepada Hospital Kuala Lumpur, Kuala Lumpur pada 23 Mac 2020 dan Hospital Sultanah Aminah, Johor pada 24 Mac 2020. Dua hospital lain yang turut menerima sumbangan adalah Hospital Sungai Buloh, Selangor dan Hospital Queen Elizabeth 1, Sabah. – SM

(Visited 231 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button