MahkamahNasional

1MDB fail saman terhadap Riza, syarikat penerbitan

1MDB dan tiga anak syarikatnya memfailkan saman baharu terhadap penerbit filem Riza Aziz, syarikat penerbitannya dan sebuah firma guaman AS untuk mendapatkan semula USD250 juta (RM1 bilion) yang didakwa diselewengkan.

1MDB berkata, dalam saman itu, Riza dan syarikatnya, Red Granite Pictures serta Red Granite Capital (BVI) Limited – menggunakan wang itu antara 2011 dan 2012, untuk manfaat peribadi.

“Antara lain, wang itu digunakan untuk membiayai penerbitan filem serta membeli pelbagai hartanah,” kata syarikat itu.

1MDB mendakwa firma guaman Shearman and Sterling LLC membenarkan Riza serta “sekutunya” Low Taek Jho (Jho Low) menggunakan akaun klien di firma itu itu untuk mengubah “sejumlah besar dana yang diselewengkan.”

“Kami memohon deklarasi supaya Riza, Red Granite, serta Shearman and Sterling LLC dipertanggungjawab bagi dana yang diselewengkan daripada kami.

“Secara alternatif, kami meminta deklarasi daripada mahkamah bahawa kami berhak mendapat pembayaran semula dana yang diselewengkan itu,” kata syarikat.

Mahkamah Tinggi menetapkan 17 Ogos untuk pengurusan kes.

Riza yang juga anak tiri bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak sebelum ini dilepaskan tanpa dibebaskan daripada tuduhan mengubah wang haram berjumlah USD248 juta.

Melalui terma yang dicapai kedua-dua pihak, Riza bersetuju memulangkan USD107 juta kepada kerajaan dengan syarat pendakwa mempunyai hak untuk menuduhnya semula jika beliau gagal mematuhi perjanjian berkenaan.

Tidak jelas sama ada Riza telah memulangkan wang berkenaan, atau sama ada kes baharu ini mempunyai kaitan dengannya.

Baru-baru ini kerajaan AS menjual apartmen Riza di New York dengan harga USD16.8 juta. Akhbar New York Times melaporkan apartmen itu dibeli pada 2012 dengan harga USD33.5 juta. – FMT – SM

 

(Visited 236 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More
Back to top button