Nasional

RM73.5 juta untuk penjaja, peniaga kecil dan transformasi pasar malam

Kerajaan mengumumkan peruntukan berjumlah RM73.5 juta untuk penjaja dan peniaga kecil serta transformasi pasar malam.

Sebanyak RM48.52 juta diperuntukkan bagi Program Pembiayaan Mikro untuk Penjaja dan Peniaga Kecil dalam menjaga kebajikan penjaja dan peniaga kecil.

“Melalui inisiatif ini, Keluarga Malaysia dalam kalangan penjaja dan peniaga kecil boleh memohon pembiayaan
secara syariah dengan kadar keuntungan kosong peratus daripada Bank Rakyat iaitu agensi di bawah MEDAC
bagi menambahbaik dan membangunkan semula perniagaan sedia ada.

“Pembiayaan yang dimohon boleh digunakan bagi tujuan pemulihan perniagaan seperti modal pusingan, pembelian peralatan/ perkakasan, bayaran gaji, bayaran sewa, bil utiliti dan lain-lain,” kata Ismail Sabri.

Menurutnya, tiada sebarang kadar keuntungan dikenakan ke atas penerima biaya sebaliknya hanya kos pengurusan akan dikenakan sebanyak satu peratus atas kutipan yang diterima.

Nilai pembiayaan adalah antara RM10 ribu hingga RM50 dengan tempoh bayaran balik hingga lima tahun.

“Jadi saya menyeru kepada Keluarga Malaysia untuk mengambil peluang yang ditawarkan ini bagi kelangsungan perniagaan masing-masing,” kata Ismail Sabri.

Pengumuman itu dibuat Ismail Sabri pada Majlis Sambutan Hari Penjaja dan Peniaga Kecil Peringkat Kebangsaan 2021 dan Pelancaran Program Transformasi Pasar Malam di Putrajaya hari ini.

Sementara itu sebanyak RM25 juta diperuntukan bagi pelaksanaan Transformasi Pasar Malam.

Pelaksanaan itu akan dibuat secara berperingkat di 50 tapak pasar malam utama di seluruh negara mulai tahun 2022.

Program Transformasi Pasar Malam yang diusahakan oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan akan mengetengahkan pelbagai elemen norma baharu yang mementingkan komponen kesihatan dan keselamatan seperti penugasan ‘Marshal Pasar Malam’ bagi meningkatkan kembali keyakinan rakyat.

“Untuk itu, semua pihak khususnya pihak berkuasa tempatan (PBT) serta kerajaan negeri diharap dapat mengadaptasi pendekatan Transformasi Pasar Malam ini di seluruh negara.

“Ini kerana pasar malam merupakan satu medan kepada rakyat mendapatkan keperluan harian dengan mengurangkan peranan orang tengah,” katanya.

Turut hadir pada majlis tersebut adalah Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Tan Sri Noh Omar dan Menteri KPKT, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican.-SM

(Visited 211 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button