Nasional

Tun M mengalir air mata pemergian Tun Rahah

BEKAS Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad mengalirkan air mata ketika diwawancara oleh media selepas menziarahi jenazah Allahyarhamah Tun Rahah Mohamed Noah hari ini.

Menurut Dr. Mahathir, Allahyarhamah Rahah banyak menabur jasa dalam membantu suaminya, Tun Abdul Razak Hussein ketika menjadi Perdana Menteri Kedua.

Menurut Ahli Parlimen Langkawi itu, Allahyarhamah Rahah antara generasi merdeka terakhir yang tidak ternilai jasa dan sumbangannya kepada negara.

“(Beliau) generasi ‘merdeka’… tak banyak orang yang generasi merdeka yang masih ada (hidup). Mungkin (beliau) antara yang terakhir.

“Dia membantu Tun Razak (Tun Abdul Razak Hussein) semasa Tun Razak jadi Perdana Menteri (Kedua)…,” kata Dr Mahathir yang kelihatan tidak mampu menahan sebak dan mengalirkan air mata ketika ditemui selepas memberi penghormatan terakhir di Masjid Ar-Rahah di Kampung Kerinchi.


Turuh hadir isteri Dr. Mahathir, Tun Dr. Siti Hasmah Mohamad Ali dan anaknya, Datuk Seri Mukhriz.

Dr. Mahathir mempunyai hubungan akrab dengan keluarga Tun Razak itu. Beliau malah pernah digelar sebagai anak emas Tun Razak dan dia masuk semula ke dalam UMNO hasil pertolongan Tun Razak.

“Saya sudah tentunya berasa amat sedih kerana saya terhutang segala-galanya kepada beliau (Tun Razak). Saya dipecat daripada UMNO dan orang-orang yang dipecat sebelum saya tidak pernah kembali. Kerjaya politik mereka rosak.

“Tetapi beliau bukan sahaja membenarkan saya kembali ke pangkuan tetapi kemudiannya melantik saya sebagai seorang menteri penuh. Saya telah digambarkan sebagai anak emas Tun, yang menimbulkan kemarahan ramai orang kuat UMNO.

“Tun Hussein yang menggantikan beliau tidak pernah rapat dengan saya dan saya fikir ini adalah akhir bagi kerjaya saya.

“Tetapi tidak. Tidak, kerana Tun Razak telah bercakap sesuatu yang baik untuk saya kepada Tun Hussien,” kata Dr. Mahathir dalam blog yang ditulis pada 18 Januari 2016.

Rahah, 87, yang merupakan ibu bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Tun Razak meninggal dunia, petang semalam ketika menerima rawatan di Hospital Prince Court, akan diberi penghormatan Istiadat Pengebumian Negara dan jenazah akan dikebumikan di Lingkaran Makam Pahlawan, Masjid Negara, tengah hari ini.-SM

 

(Visited 397 times, 1 visits today)

Show More

KHAIRULANUAR YAHAYA

Khairulanuar mempunyai pengalaman sebagai wartawan di Karangkraf, Bernama TV dan terakhir di Utusan Malaysia. Pernah membuat liputan kemanusiaan di Gaza, Pakistan, Jepun, Somalia, Lubnan dan Syria. 'Kehilangan' jurukamera, Noramfaizul ketika sama-sama bertugas di Somalia sesuatu yang tidak pernah beliau lupakan.

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button