fbpx
Jenayah

‘Handsome’ guna lampu hiasan untuk jual dadah

SEORANG lelaki dikenali sebagai ‘handsome’ yang juga ketua sindiket dadah ditahan dalam beberapa serbuan dijalankan polis bermula 2 Jun hingga 9 Jun lalu di Johor.

Sindiket tersebut menggunakan kedai lampu perhiasan sebagai penyamaran untuk menjalankan aktiviti pengedaran dadah.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, sebanyak 15 serbuan telah dijalankan dan berjaya menahan sebanyak 18 suspek termasuk seorang warganegara Singapura berusia antara 25 hingga 50 tahun.

Katanya, nilai keseluruhan rampasan melibatkan dadah dan barangan sitaan berjumlah RM1.08 juta.

“Satu sindiket diketuai seorang individu dengan gelaran ‘handsome’ dikesan menggunakan perniagaan lampu hiasan sejak lapan tahun lalu sebagai samaran untuk menjalankan operasi pengedaran dadah mereka.


“Sementara itu, satu lagi sindiket diketuai seorang warganegara Singapura berusia 43 tahun turut ditumpaskan apabila seramai 12 ahli sindiket itu ditahan,” katanya.

Tambah Ayob Khan, selain pelbagai jenis dadah bernilai RM49,781 dirampas, pihaknya turut menyita satu pucuk pistol tiruan beserta 29 butir peluru, 15 buah kenderaan, wang tunai berjumlah RM71,045, 18 akaun bank tempatan dengan jumlah wang sebanyak RM117,354 dan satu barangan kemas.

“Kesemua suspek kini dikenakan reman selama tujuh hari dan disiasat mengikut Seksyen 39B, Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 8 Akta Senjata Api 1960.

“Untuk makluman, sejak 1 Januari hingga 13 Jun tahun ini, polis Johor telah menangkap seramai 7,739 suspek atas pelbagai kesalahan dadah dengan rampasan dadah sebanyak 866.65 kilogram bernilai RM17.47 juta,” ujarnya. – SM

(Visited 1 times, 1 visits today)

Show More

Related Articles

Back to top button