Jenayah

Hina lans koperal: Pegawai polis wanita dipanggil bantu siasatan

Seorang wanita yang didakwa mengeluarkan kata-kata berunsur hinaan terhadap anggota polis menerusi video tular dipanggil untuk memberi keterangan.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, suspek yang merupakan penjawat awam itu telah dikenal pasti dan dipanggil ke Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak.
Menurutnya, kejadian dipercayai berlaku kira-kira jam 12 tengah hari di sebuah kedai makan di Taman Seri Gombak, Batu Caves pada Khamis.
“Siasatan awal mendapati seorang individu didatangi suspek yang bertindak memarahi dirinya kerana mendakwa telah membuat bising berhampiran rumah jiran berhampiran.
“Suspek kemudian memperkenalkan diri sebagai penjawat awam itu mengeluarkan nada suara tinggi dan menyatakan ingin menahan individu berkenaan,” katanya menerusi kenyataan pada Jumaat.
Katanya, suspek turut bertindak mengugut hendak memukul individu tersebut selain memarahi beberapa individu lain yang turut berada di lokasi kejadian.
“Anggota polis yang turut berada di lokasi telah meminta suspek menunjukkan kad kuasanya namun suspek tidak memberikan kerjasama.
“Suspek bertindak mempersenda anggota polis tersebut ketika diminta memberikan kerjasama,” katanya.
Menurutnya dua kertas siasatan dibuka bagi siasatan lanjut berkaitan kejadian. “Kertas siasatan telah dibuka di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan, Seksyen 186 Kanun Keseksaan dan Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955.
“Siasatan lanjut turut mendapati terdapat dua video tular berkaitan kejadian dan orang ramai dinasihatkan agar tidak terus menularkan video tersebut dan memberikan komen-komen yang boleh menggugat ketenteraman awam dan menggangu siasatan,” katanya.
Pada Jumaat, tular video memaparkan seorang wanita didakwa mengeluarkan kata-kata berbentuk hinaan kepada anggota polis dalam kejadian baru-baru ini dipercayai berlaku di sekitar kawasan Gombak.
Video berdurasi 25 saat itu memaparkan individu berkenaan dipercayai merupakan seorang pegawai polis telah meninggikan suara dengan mengatakan anggota polis berkenaan tidak layak menegurnya.
(Visited 598 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button