Politik

Hak rakyat pilih pemimpin perlu dilaksanakan selepas darurat

HAK rakyat di Batu Sapi untuk memilih wakil rakyat perlu ditunaikan sebaik sahaja jangkitan Covid-19 dikawal dan selepas kerajaan menarik balik pelaksanaan darurat.

Pada masa sama kerajaan perlu mencari jalan terbaik untuk memberitahu rakyat terutama di kawasan Batu Sapi bila tempoh darurat akan berakhir.

“Dalam melaksanakan proses demokrasi, kesihatan rakyat tidak boleh dijadikan pertaruhan sebaliknya perlu menjadi keutamaan dalam situasi negara ketika ini yang masih berjuang menentang penularan COVID-19.

“Warisan menjunjung kasih terhadap titah Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong (Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah) memberi perkenan agar darurat dilaksanakan di kawasan Parlimen Batu Sapi,” kata Presiden Parti Warisan Sabag (Warisan) Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dalam satu kenyataan malam tadi.

Semalam Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah mengisytiharkan Proklamasi Darurat di Parlimen Batu Sapi berdasarkan Fasal (1) Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan di Parlimen Batu Sapi yang sekali gus membatalkan pilihan raya kecil kerusi itu.

Mohd Shafie berkata, Warisan percaya Seri Paduka mengeluarkan titah tersebut atas keprihatinan terhadap kesihatan rakyat Sabah khususnya di Batu Sapi yang kini merupakan antara kawasan merah akibat jangkitan pandemik COVID-19.

“Warisan turut berharap agar dalam tempoh darurat ini, kerajaan memberi jaminan agar kebajikan setiap rakyat di Batu Sapi terutama bantuan makanan dan keperluan harian sentiasa diutamakan,” katanya.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pada 13 Oktober lalu menetapkan hari penamaan calon PRK Batu Sapi pada 23 November ini manakala hari pengundian awal pada 1 Disember dan pengundian pada 5 Disember.

PRK itu diadakan susulan kematian penyandangnya Datuk Liew Vui Keong pada 2 Oktober akibat jangkitan paru-paru. – SM

(Visited 168 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button