Politik

Kelangsungan UMNO bergantung kepada kualiti pemimpin – Asyraf Wajdi

UMNO memerlukan pemimpin yang berkualiti bagi memastikan kelangsungan parti itu pada masa depan.

Dalam ucapan sempena ulang tahun ke-75 penubuhan UMNO, Ketua Pergerakan Pemuda parti itu Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, UMNO memerlukan pemimpin yang kekal berprinsip dan bermaruah.

“Sejarah telah membuktikan hakikat sunnatullah yang mentakdirkan jatuh atau bangun, unggul atau hancurnya sesuatu bangsa amat bergantung kepada perilaku moral, sikap dan budaya fikir mereka sendiri.

“Justeru, untuk UMNO terus kekal relevan di pentas perjuangan hari ini amat bergantung kepada kualiti setiap kepimpinan dan pendokongnya yang harus kekal berprinsip dan bermaruah dan bukannya berkualiti buih sebagaimana perumpamaan Allah berikan dalam Surah Al-Ra’d yang boleh hancur berkecai tatkala dihempas ke pantai,” katanya.

Tambah beliau, pemimpin UMNO yang berkualiti perlu terdiri dalam kalangan mereka yang manjadikan iman dan Islam sebagai teras perjuangan.

Segala sifat buruk seperti sombong dan mengamalkan rasuah perlu dihapuskan daripada menjadi budaya dalam UMNO.

“Kualiti yang dimaksudkan sudah tentulah berpaksikan kepada idealisme perjuangan yang benar-benar berteraskan roh keimanan dan keIslaman yang sejati bagi diterjemahkan dalam agenda membela rakyat.

“Segala sifat-sifat bobrok yang merosakkan parti seperti sombong, angkuh dan bongkak serta terbelenggu dengan gejala rasuah dan politik wang WAJIB dileburkan daripada akar budaya parti,” katanya.

Asyraf Wajdi turut berharap agar proses pembaikan dan perubahan yang berlaku dalam parti itu ketika ini akan berterusan.

Proses berkenaan turut digerakkan oleh pemimpin muda dalam UMNO yang merupakan bakal pemimpin parti itu pada masa depan.

“Mudah-mudahan, proses islah (pembaikan) dan taghyir (perubahan) akan terus memugar dalam sanubari warga parti terutamanya di kalangan generasi muda yang bakal mewarisi perjuangan suci UMNO ini.

“Moga Allah mengampuni segala keterlanjuran dan merahmati perjuangan kita. Insya-Allah!” kata Asyraf Wajdi.-SM

(Visited 116 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button