Nasional

Hak-hak Sabah, Sarawak akan dipastikan terus terpelihara – PM

HAK-HAK bagi Sabah dan Sarawak seperti mana yang terkandung dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) akan dipastikan terus  terpelihara, kata Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Untuk itu satu Majlis Khas mengenai MA63 yang akan dipengerusikan oleh beliau sendiri telah dipersetujui untuk ditubuhkan pada mesyuarat jemaah menteri 9 September lalu.

Majlis itu akan dipengerusikan oleh Perdana Menteri sendiri dan turut akan dianggotai oleh Ketua Menteri Sabah serta Sarawak, manakala menteri-menteri Persekutuan dan ahli-ahli lain akan dilantik mengikut kesesuaian, kelayakan dan bidang kepakaran masing-masing.

“Majlis Khas ini akan membincangkan isu-isu yang berkait dengan hak-hak Sabah dan Sarawak seperti yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963, antaranya kedudukan Sabah dan Sarawak sebagai rakan sekutu, hak negeri di bawah Perkara 112 Perlembagaan Persekutuan, MA63 dan Laporan Jawatankuasa Antara Kerajaan (IGC), keselamatan negeri dan pendidikan.

“Majlis Khas ini akan dibantu oleh jawatankuasa sedia ada yang telah ditubuhkan di peringkat kementerian dan agensi persekutuan berdasarkan isu-isu yang berkaitan,” katanya semasa berucap pada majlis sambutan Hari Malaysia 2020, di Stadium Tertutup Sibu, malam tadi seperti yang dipetik dari BERNAMA.

Mengulas lanjut, Muhyiddin berharap agar penubuhan Majlis Khas ini akan dapat merungkaikan beberapa isu yang masih tertangguh berhubung hak dan kedudukan Sabah dan Sarawak selaras dengan semangat MA63 dan peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan.

Muhyiddin berkata Kerajaan Persekutuan sentiasa memberikan keutamaan kepada pembangunan Sabah dan Sarawak dengan usaha terbaharu merupakan pelan infrastrukur digital iaitu Jalinan Digital Negara (JENDELA) yang akan dimasukkan dalam Rancangan Malaysia ke-12.

“Inisiatif ini adalah selaras dengan komitmen Kerajaan Perikatan Nasional untuk memastikan tiada warganegara yang ketinggalan dalam mengecapi nikmat pembangunan…termasuk penduduk di Sabah dan Sarawak yang kita ketahui sebahagian besarnya agak ketinggalan dari segi memperoleh akses kepada capaian internet berkelajuan tinggi,” katanya.

Dalam pada itu, beliau menegaskan soal kedaulatan wilayah juga akan terus dipertahankan tanpa sebarang kompromi.

“Saya ingin tegaskan bahawa Sabah dan Sarawak akan terus kekal berada dalam Malaysia. Kerajaan Persekutuan tidak akan tunduk kepada desakan mana-mana pihak yang cuba mempertikaikan kedaulatan negara kita.

“Kerajaan menerusi Majlis Keselamatan Negara dan agensi-agensi penguatkuasaan memikul tanggungjawab bersama untuk terus mempertingkatkan kawalan sempadan negara bagi mengekang sebarang cubaan untuk menceroboh dan mengancam kedaulatan negara termasuk melaksanakan Op Benteng dan meningkatkan penguatkuasaan di Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESScom),” katanya.

Sementara itu, Muhyiddin berkata ekonomi negara dijangka pulih pada tahun hadapan dengan unjuran pertumbuhan pada kadar 5.5 peratus sehingga lapan peratus yang dipacu oleh pertumbuhan ekonomi global dan domestik secara berterusan.

Katanya, keyakinan ini adalah berteraskan kepada inisiatif yang telah diambil selepas Bank Negara menyemak semula unjuran pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sekitar negatif 3.4 hingga negatif 5.5 peratus berikutan impak COVID-19 yang turut melanda ekonomi di seluruh dunia.

“Saya yakin usaha pemulihan ekonomi akan dipertingkatkan melalui Belanjawan 2021 yang akan dibentangkan di Parlimen pada November nanti, Insya-Allah,” katanya.

(Visited 98 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button