Nasional

Jika perlu PKP ketat, biar dilaksanakan kali terakhir dengan berkesan

SULTAN Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar bertitah sekiranya Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang ketat diperlukan untuk menyelamatkan nyawa, biarlah ia dilaksanakan buat kali terakhir tetapi berkesan.

Sultan Ibrahim bertitih demikian berikutan peningkatan kes Covid-19 yang berada pada tahap yang sangat kritikal.

Menurut Baginda, jumlah kes ketika ini tidak menunjukkan tanda-tanda penurunan dan beberapa negeri termasuk Johor kini menjadi negeri berisiko tinggi.

“Sekiranya perintah kawalan pergerakan yang ketat diperlukan untuk menyelamatkan nyawa, biarlah ia dilaksanakan buat kali terakhir tetapi berkesan, dengan memastikan orang ramai juga memainkan peranan masing-masing bagi menjayakan peraturan yang dikuatkuasakan.

“Pengorbanan mesti dibuat untuk kebaikan semua. Jangan kita menyesal kemudian hari, tiada gunanya,” titah Sultan Ibrahim.

Baginda turut mahu anggota penguatkuasa untuk menjalankan tugas dengan lebih tegas tetapi adil terhadap mereka yang melanggar prosedur operasi standard (SOP).

Menurut Sultan Ibrahim, walaupun sistem penjagaan kesihatan kita diurus tadbir dengan baik, namun semuanya mempunyai batas.

Titah baginda, jika beban yang terpaksa ditanggung menjadi keterlaluan, pasti akan membawa akibat yang tidak dapat dibayangkan.

“Saya harap agensi penguatkuasaan akan bertindak lebih tegas dan adil terhadap mereka yang melanggar SOP ditetapkan.

“Kita tidak boleh membiarkan keadaan menjadi tidak terkawal, seperti yang sedang berlaku di India sekarang.

“Saya juga berharap kerajaan negeri akan mengambil keputusan yang bijaksana dan bertindak demi kepentingan rakyat,” titah Sultan Ibrahim.

Menurut Sultan Ibarahim jumlah kes yang meningkat ketika ramai merasakan keadaan telah pulih menimbulkan rasa rasa putus asa dan tiada kepedulian lagi.

Menurut Baginda, rakyat tidak boleh mengabaikan prosedur operasi standard walaupun mereka telah menerima suntikan vaksin terhadap virus tersebut.

“Ingatlah untuk menjaga diri dan satu sama lain, ini kerana sesetengah rakyat memandang ringan SOP dan bersikap seolah-olah wabak itu sudah berakhir.

“Sikap berbahaya ini hanya akan menambah lagi beban kemudahan penjagaan kesihatan kita,” nasihat Sultan Ibrahim.

Baginda turut menggesa rakyat Johor agar segera mendaftar untuk menerima suntikan vaksin.

Mereka juga dinasihatkan supaya percayalah kepada pakar kesihatan yang sahih bukannya khabar angin.

“Sebagai Sultan Johor, saya amat mengambil berat akan kebajikan dan keselamatan Bangsa Johor.

“Saya tidak mahu lagi mendengar kisah sedih keluarga yang kehilangan ahli mereka yang tersayang akibat wabak ini,” titah Sultan Ibrahim.-SM

 

(Visited 445 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button