Kecek

Hagia Sophia : Apa yang dunia Arab lihat?

JUMAAT, 24 Julai menjadi detik yang begitu bermakna bagi sebahagian besar penduduk Turki dan umat Islam amnya.

Selepas lebih 80 tahun, dihentikan fungsinya sebagai sebuah masjid, akhirnya Hagia Sophia dimakmurkan semula sepertimana peranan yang pernah dimainkannya lebih 500 tahun lalu.

Seakan satu dunia Islam meraikannya, siaran langsung di mana-mana dalam media sosial, apatah lagi melalui stesyen tv milik kerajaan Turki.

Ia melonjakkan imej Presiden Recep Tayyip Erdogan yang dianggap sebagai “wira” umat Islam kerana berani menggembalikan semula ikon utama negara itu ke kedudukan asal selepas ia dijadikan muzium oleh Mustafa Kamal Ataturk pada 1934.

Pengaruh pemimpin AK Party ini di kaca mata global, khususnya di kebanyakan negara Islam naik melonjak kerana telah mengambil langkah yang berani berdepan dengan pelbagai tekanan dan karenah Barat, khususnya Amerika Syarikat.

Namun begitu ketika bacaan ayat Al Quran dan azan kembali berkumandang disusuli dengan solat, ada juga negara Islam di dunia Arab yang mengkritik keputusan Erdogan menggembalikan maruah Hagia Sophia.

Mesir, satu negara yang merasakan dirinya cukup berpengaruh di Asia Barat mencelah masuk dalam urusan dalam Turki dengan mendakwa keputusan itu bertentangan dengan Islam.

“Kita (sebagai orang Islam) diminta menjaga gereja. Nabi Muhammmad S.A.W selalu mengingatkan dalam perang supaya tidak memusnahkan rumah ibadat atau rahib” kata Mufti Besar Mesir, Shawqi Allam dalam satu temuramah bual bicara, Saad al Balad TV.

Komen itu diberikan pada Jumaat, 18 Julai lalu sekaligus menafikan fakta sejarah berkenaan Hagia Sophia, yang dibeli oleh pemerintah Ottoman dan kemudian diwakafkan oleh Sultan Mehmet 11 pada 1570.

Apa yang disuarakan beliau tidak pelik kerana Shawqi sebelum ini sering mengeluarkan kenyataan yang menjaga kedudukannya yang dilantik oleh kerajaan dengan mengampu Presiden Abdul Fattah al Sisi.

Antara yang kontroversi, mengisytiharkan mereka yang dibunuh dengan zalim oleh polis dalam bantahan anti kerajaan sebelum ini tidak boleh dianggap sebagai syahid.

Selain Mesir, UAE turut memberikan reaksi negatif terhadap penggembalian Hagia Sophia sebagai sebuah Rumah Allah.

Dalam kenyataan yang dibuat Menteri Budaya dan Belia, Noura Mohamed Al Kaabi,  11 Julai lalu, beliau menegaskan ia adalah warisan budaya manusia yang perlu dipulihara.

“Ia tidak sepatutnya disalah guna atau dipinda menerusi cara perubahan yang menyentuh nilai kemanusiaan terutama tapak yang diisytiharkan Warisan Dunia oleh Unesco” katanya.

Kenyataan itu tidak mengejutkan kerana sejak 2017, hubungan antara Turki dan UAE berada pada tahap paling rendah selepas Ankara memberikan sokongan kepada Qatar selepas Negara Teluk yang diketuai Arab Saudi memulau Doha yang dituduh menyokong keganasan.

Bagaimanapun, Riyyadh tidak membuat sebarang kenyataan khusus mengenai keputusan Erdogan menukar Hagia Sophia daripada muzium kepada masjid.

Situasi itu dilihat mempunyai kaitan dengan perkembangan politik dalamannya ketika ini di mana Raja Salman, 84 tahun dimasukkan ke hospital kerana gering dan pergolakan sesama sendiri mengenai kedudukan Putera Mahkota Mohammed bin Salman sebagai penganti.

Namun begitu, salah satu akhbar ternamanya, Saudi Gazzete menyiarkan artikel yang menjatuhkan maruah pemimpin Turki dengan tajuk “Hagia Sophia and Erdogan’s stupidity!

“Apa keuntungannya buat masyarakat Islam antarabangsa apabila Hagia Sophia diubah menjadi masjid?  Adakah Erdogan tidak kisah jika Yahudi menukar masjid “Dome of the Rock” menjadi rumah ibadat Yahudi atau menukar masjid di Haifa, Jaffa, Akko dan Baitulmaqdis di Palestin menjadi gereja atau menukar “Church of the Holy Sepulchre” menjadi masjid? Adakah beliau dapat menerima jika Eropah menukar masjid-masjid kita menjadi kuil dan gereja? Ini adalah isu yang serius jika ia berlarutan ” ditulis Wafa al Rasheed anak kepada pengasas Al-Rushaid Group,yang terbabit dengan pelbagai projek dan hartanah di Arab Saudi.

Ini baru isu Hagia Sophia yang ditukar menjadi gereja pada 1934 belum lagi bercerita mengenai kesepakatan Arab untuk membela bangsa sendiri, orang Palestin yang sehingga sekarang tanahnya dijajah Zionis sejak 1948.

Bagaimana pula dengan konflik mutakhir seperti di Syria dan Yemen?

Paling tidak di bawah pentadbiran Erdogan lebih 3.7 juta rakyat Syria diberi perlindungan sedangkan di kebanyakan negara Arab mereka dilayan sebagai pendatang kelas dua! – SM

(Visited 374 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button