Kecek

Asalkan dapat bunuh rakyat…

Satu dunia tidak keruan akibat wabak Covid-19, sejak mula dikesan pada November 2019, di Wuhan, China. Selepas setahun, tiada petanda ia menampakkan penurunan kadar kes jangkitan apatah lagi kematian.

Bayangkan dalam keadaan kebanyakan negara kuasa besar yang stabil seperti Amerika Syarikat, China, Jepun, Britain, Perancis dan lain-lain terjejas dan berusaha untuk menanganinya, lain pula ceritanya di Syria.

Rejim Bashar al Assad tetap “steady” menyerang kawasan orang awam di utara negara itu.

Bunuh tetap bunuh, cuma bezanya sama ada pada skala besar atau kecil.

Selepas sepi dari tular seketika, serangan roket bertubi-tubi pada pagi 4 November ke beberapa kawasan di Idlib termasuk Ariha membangkitkan semula kemarahan orang ramai, khususnya netizen.

Dalam kejadian itu tujuh nyawa termasuk empat kanak-kanak, Salag seorang daripada mereka adalah Reemas Handawi yang ketika itu dalam perjalanan ke sekolah.

Imej ngeri dengan perutnya terburai dan sebahagian anggota badannya putus akibat terkena serpihan roket, menimbulkan kemarahan dan simpati.

Belumpun reda atas kematian mereka yang tidak berdosa, pada Jumaat, Sidra turut menerima nasib yang sama.

Jika sepanjangan hayatnya di dunia selama empat tahun, dia sering kesejukan, kelaparan dan bersembunyi untuk menyelamatkan diri dari serangan bom kini segala derita duniawi telahpun berakhir.

Sidra atau Reemas, kedua-duanya tidak pernah melakukan apa-apa dosa dan kesalahan terhadap rejim kerana ketika celik ke dunia, Syria telahpun huru hara akibat konflik.

Begitu juga dengan jutaan pelarian lain yang hampir sedekad menderita.

Dalam keadaan serba kekurangan dengan ancaman wabak Covid-19, tiada langsung rasa belas ihsan daripada pemimpin sendiri untuk menghentikan pembunuhan.

Usaha masyarakat antarabangsa untuk mencari jalan penyelesaian tidak menampakkan sebarang petanda kerana sikap kuasa dunia, khususnya Rusia yang menjadi sekutu kuat Bashar, sering bermain tarik tali.

Sejak tercetus, kesinambungan hidup mangsa konflik banyak bergantung dengan bantuan luar, namun berikutan situasi semasa, ia menjadi kekangan besar dan keadaannya dijangka lebih sukar.

Dalam laporannya pada pada 7 Oktober lepas pejabat Penyelaras Hal Ehwal Kemanusiaan (OCHA), sebuah agensi di bawah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) memaklumkan sebanyak USD40 juta diperuntukkan kepada Tabung Kemanusiaan Syria (SHF).

Menurut penyelarasnya di Syria, Imran Riza, ia peruntukan terbesar yang disalurkan agensi berkenaan bagi membantu meringankan beban hidup 1.3 juta pelarian di seluruh Syria.

“OCHA telah mengagihkan dana di mana NGO menerima 61 peratus termasuk 19 NGO tempatan (USD8.7juta) dan 21 NGO antarabangsa (USD15.5 juta)” katanya dalam laporan yang disiarkan reliefweb pada 7 Oktober lalu.

Dalam kenyataan yang sama, beliau memaklumkan peruntukan melalui SHF turut membantu 62 projek yang meliputi kawasan luar daerah seperti di pedalaman Damsyik, Aleppo, Homs. Daraa, Latakia dan Deir az Zour.

Namun peruntukan yang dinyatakan langsung tidak membayangkan kawasan seperti utara Idlib, lokasi yang kini menempatkan lebih 4 juta pelarian yang melarikan diri dari kawasan yang dikuasai semula tentera rejim Bashar al Assad serta konco-konconya.

Keadaan di utara Syria yang telah padat dengan pelarian perlukan perhatian untuk menggerakkan ekonomi sekaligus membuka jalan bagi menyediakan peluang-peluang pekerjaan.

“ Tahun ini kedaan dijangka lebih teruk dari tahun-tahun yang lepas kerana kebanyakan NGO berhenti memberi bantuan selepas Ramadan,” kata Penyelaras Projek dan Media Syria Care, Shadi al Uwainah.

Tambahnya, keadaan sedia ada diburukkan lagi dengan kenaikan harga barangan berikutan harga bahan bakar yang melonjak.

“Para pelarian memohon pertubuhan antarabangsa untuk bersama mereka berhadapan dengan musim sejuk kali ini dengan menyediakan bahan bakar dan juga makanan.

“Jika dalam musim panas pun mereka sukar mendapat pekerjaan apatah lagi pada musim sejuk, keadaan akan bertambah buruk” luahnya.

Kata Shadi, pelarian begitu berharap agar mereka dapat kembali ke rumah masing-masing dan dapat meneruskan kehidupan tanpa meminta-minta kepada mana-mana pihak.

Namun tanpa usaha bersungguh-sungguh masyarakat antarabangsa untuk mendesak pihak berkenaan mencari penyelesaian, segalanya tinggal harapan kerana sampai ketika artikel ini ditulis, serangan demi serangan terus dilancarkan ke atas orang awam. – SM

(Visited 615 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button