Rencana

Mengapa Dr. Mahathir bergaduh dengan Perancis?

TUN Dr. Mahathir Mohamad bukan lagi perdana menteri. Beliau kini hanya seorang presiden parti yang belum diluluskan pendaftarannya.

Tetapi mengapa beliau bergaduh dengan Perancis dengan kenyataan yang boleh dianggap mengejutkan ketika mengulas kejadian seorang guru dibunuh oleh pelajarnya setelah menunjukkan karikatur Nabi Muhammad.

Dr. Mahathir mengulas bahawa umat Islam memang wajar bertindak sedemikian kerana kerajaan dan para petinggi negara Perancis tidak sensitif terhadap ajaran Islam.

Kata Dr Mahathir, sejarah membuktikan bahawa orang Perancis pernah membunuh jutaan manusia, yang ramai mangsanya terdiri dari orang Islam.
Katanya, orang Islam berhak untuk marah dan bunuh orang Perancis bagi membalas pembunuhan mereka pada masa lampau, tetapi orang Islam tidak pernah mengamalkan peraturan sedemikian.

Perkataan berhak membunuh orang Perancis itu menimbulkan kebimbangan akan menggalakkan tindakan pembunuhan secara besar-besaran. Walaupun sebenarnya ia dipetik dan ditafsirkan mengikut jurus yang salah.

Sebenarnya kebanyakan rakyat Malaysia tidak kenal pun siapa Presiden Perancis Emmanuel Macron.

Walaupun terdapat kejadian wanita dipenggal kepala, tetapi orang ramai tidak berminat untuk membacanya.

Ini adalah kerana kebanyakan kita tidak peduli tentang apa yang berlaku di Perancis sebab kebanyakan tidak mempunyai kepentingan serta tidak pernah menjejakkan kaki di negara Eropah itu.

Kita hanya tahu menara Eifel kerana ia salah satu pusat tumpuan pelancong walaupun ia lebih kelihatan sama dengan pencawang tenaga yang terdapat di negara kita.

Bagi peminat bola sepak mungkin mereka kenal Mbappe penyerang pasukan Paris Saint-Germain (PSG).

Selebihnya kita tidak peduli kerana kedudukan negara kita terlalu jauh dari segi geografi dan apa yang berlaku di negara berkenaan sangat sedikit memberi kesan kepada kehidupan harian kita.

Bagaimanapun bagi Dr. Mahathir beliau merupakan seorang yang pakar di dalam bidang strategik secara semula jadi dapat menghidu peluang bagi mengangkat kembali nama beliau yang agak tenggelam ketika krisis ekonomi, politik dan kesihatan melanda negara.

Komen keras beliau terus mendapat perhatian rakyat Malaysia, bahkan seluruh dunia berbanding komen menteri luar dan para pemimpin UMNO dan lain-lain yang berdiplomasi.

Dr. Mahathir tidak perlu berdiplomasi kerana beliau bukan perdana menteri lagi dan kenyataan beliau tidak akan menjejaskan hubungan kedua-dua buah negara.

Kelebihan ini bijak digunakan oleh Dr. Mahathir bagi menarik sokongan orang Melayu dan Islam yang menjadi majoriti penduduk Malaysia.

Keberanian Dr. Mahathir mengkritik Perancis segera mengundang rasa hormat kerana beliau lebih berani berbanding pemimpin yang mewakili parti Islam iaitu Pas sendiri.

Kenyataan Datuk Seri Abdul Hadi Awang langsung tidak mendapat perhatian di dalam negeri apatah lagi di peringkat dunia.

Dr. Mahathir seorang pemimpin veteran yang tidak takut dikritik, bahkan beliau akan menggunakan situasi itu untuk memberi kelebihan kepada beliau.

Itulah rahsia mengapa Dr. Mahathir mampu mentadbir negara ini selama 22 tahun kerana beliau tahu dan faham golongan mana yang mahu disasarkan apabila mengeluarkan sebarang kenyataan.

Hanya sekumpuan kecil sahaja orang Islam dan Melayu di negara ini yang tidak bersetuju dengan kenyataan Dr. Mahathir.

Pada tahun 2000 Dr. Mahathir mengumumkan Malaysia sebagai negara Islam iaitu selepas berlakunya serangan ke atas bangunan Pusat Dagangan Dunia di New York, Amerika Syarikat atau dikenali sebagai serangan 911.

Walaupun ketika Pas berada di pihak pembangkang dan kuat memperjuangkan Islam, tetapi parti itu gagal mendapat sokongan majoriti umat Islam di negara ini.

Begitu juga pelbagai dasar seperti penerapan nilai-nilai Islam di dalam pentadbiran kerajaan. Selain dasar yang baik ia berjaya menarik majoriti pengundi Melayu dan Islam daripada menyokong Pas.

Apabila Tun Abdullah Ahmad Badawi mengambil alih jawatan Perdana Menteri pada 2004 beliau yang dikenali seorang yang bersih dan berlatar belakangkan Islam, juga memenangi pilihan raya dengan majoriti besar.

Bagaimanapun apabila beliau memperkenalkan Islam Hadhari ia gagal menjadi inspirasi kepada umat Islam di negara ini, bahkan menjadi bahan mainan dan akhirnya Pak Lah kehilangan sokongan.

Mahu tidak mahu isu ketuanan Melayu adalah sama juga dengan ketuanan kulit putih Kristian di Perancis dan Amerika Syarikat contohnya ia sering digunakan oleh pemimpin politik untuk membelah bahagi orang ramai bagi mendapatkan sokongan.

Dr. Mahathir tahu pilihan raya umum tidak dapat dielakkan diadakan selewat-lewatnya pertengahan tahun hadapan sahaja, beliau perlu bergerak sekarang bagi memastikan parti yang berasaskan Melayu dan Islam seperti UMNO, Bersatu dan Pas kehilangan sokongan majoriti atau lenyap terus.

Jadi para pemimpin Pas dan UMNO jangan terlalu gembira melihat Dr. Mahathir teruk dibelasah oleh media antarabangsa, tetapi tidak media tempatan, kerana mereka sebenarnya yang kalah dalam medan pertempuran ini.

(Visited 713 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button