fbpx
Kecek

Sisi Si Pembunuh Demokrasi

SEJARAH tamadun lampau menjadikan Mesir popular. Pembinaan peradaban dunia dengan pembinaan infrastruktur gah yang kekal sampai sekarang tidak akan terlaksana tanpa ada paksaan dan kerahan.

Atas nama Firaun dan kedudukan elit para sami, Piramid menjadi simbol kezaliman yang menjadi kebanggan sehingga digelar Tujuh Perkara Ajaib Dunia kekal sehingga kini.

Pengislaman dibuat secara besar-besaran di zaman Saidina Umar al Khattab, ajaran Islam mengubah akidah penduduknya dengan membawa pelbagai pembaharuan,

Mesir di zaman seterusnya dikenali sebagai negara yang produktif dengan hasil tanaman, makmur dan bermula dari abad ke-10, namanya terus dikenali di dunia Islam kerana pada tahun 972 M, Universiti Al Azhar diasaskan di Kaherah.

Di zaman moden, selain reputasi Al Azhar sebagai salah satu pusat pengajian Islam, Egyptologi (pengajian mengenai sejarah ketamadunan Mesir purba), mumia, piramid dan kesan-kesan monumen lama serta konflik Aran-Israel menjadikan Mesir negara yang popular dalam kalangan masyarakat dunia.


Ia meletakkan negara itu pada sisi unik serta menarik sehingga mampu menutup penindasan terhadap atas rakyat sendiri.

Selepas lebih 1400 tahun menerima Islam, kebanggan mewarisi darah Firaun, menyebabkan sebahagian orang Mesir terutama kelompok sekular merasakan diri mereka masih hebat dengan melihat orang lain lebih rendah.

Meskipun sistem beraja telah lama dihapuskan selepas Raja Farouk digulingkan pada 23 Julai1952 dan kemudian menjadi republik, namun demokrasi seperti yang diharapkan rakyat Mesir tidak pernah menjadi kenyataan.

Cuma hampir 60 tahun apabila Hosni Mubarak disingkir selepas menjadi presiden lebih 30 tahun, buat pertama kali pilihanraya yang telus telah diadakan.

Pada 24 Jun 2012, Suruhanjaya Pilihanraya Mesir mengumumkan Mohammad Morsi, salah seorang pendokong Ikhwanul Muslimin telah menjadi pilihan majoriti rakyat untuk menjadi presiden yang sah.

Itulah satu-satunya kemenangan yang dirai oleh pecinta demokrasi di negara itu selepas sekian lama menunggu.

Malangnya ia tidak kekal lama kerana tidak lama kerana pada 3 Julai 2013, beliau dikhianati Mejar Abdul Fatah al Sisi, salah seorang elitis tentera yang dilantiknya sebagai Menteri Pertahanan.

Rakyat cuba bangkit mempertahankan hak demokrasi namun ia berakhir dengan pertumpahan darah.

Morsi serta ramai lagi telah ditahan, merengkok dalam penjara dan kemudian dijatuhkan hukuman mati atas macam-macam dakwaan termasuk membocorkan rahsia kepada kerajaan Qatar dan bersubahat dengan kumpulan pejuang Hamas untuk menjejaskan kestabilan Mesir.

Human Rights Watch Human menganggarkan lebih  60,000 telah dipenjarakan atas sebab politik selepas Sisi melantik dirinya menjadi presiden pada 2014.

Pada 17 Jun 2019, Morsi disahkan meninggal dunia setelah rebah di depan para hakim ketika dibicarakan.

Sejak hari pertama memegang kuasa, Sisi tidak pernah lupa untuk memburu pemimpin Ikhwanul Muslimin yang masih bebas.

Jumaat lalu, Kementerian Dalam Negeri Mesir mengumumkan Mahmoud Ezzat, yang memangku tugas sebagai Pengerusi Ikhwanul Muslimin Mesir telah ditahan di salah sebuah kawasan di Kaherah selepas tujuh tahun menyembunyikan diri.

Seperti kepimpinan tertinggi yang lain, tanpa kehadirannya, mahkamah telah menjatuhkan hukuman mati.

Dalam keadaan yang uzur dengan pelbagai penyakit kronik, Ezzat dijangka tidak bertahan lama ditambah dengan usia yang melebihi 76 tahun, badannya tidak dapat lagi dengan pelbagai penderaan ketika disoalsiasat.

Mungkin pengakhiran tokoh ini sama seperti rakan seperjuangannya, Morsi dan  Essam El-Erian yang dinafikan hak untuk mendapat rawatan ketika berada dalam tahanan sehingga menemui ajal.

Perjuangan pendokong Ikhwanul Muslimin di negara kelahirannya sendiri banyak berakhir dengan kematian tragis. Hasan al Banna, pengasas serta Mursyidul Am Pertama Ikhwan Muslimin ditembak selepas waktu solat Isyak pada Jumaat 11 Februari 1949 di depan markas Jama‘iyyah al Shuban al Muslimin, Kaherah.

Kini dalam meneruskan legasi diktatornya, Sisi berusaha keras untuk menghapuskan pengaruh pergerakan itu.

Menggunakan nama pembaharuan, institusi ilmu paling berprestij di negara itu, Universiti Al Azhar menjadi fokus utama pentadbiran Sisi bagi memastikan kedudukan mereka lebih kukuh.

“Mengapa Al Azhar memilih untuk menyokong rampasan kuasa berbanding kekal berkecuali dengan presiden yang dipilih secara bebas dan adil menjadi misteri, tetapi tidak lama selepas rampasan kuasa, Sisi mula hilang keyakinan dengan al Azhar, mendapati di bawah pentadbiran Sheikh Ahmad al Tayyeb, agensi berkenaan tidak mudah dipengaruhi bagi mengikut perkembangan seperti mana badan kerajaan lain”, tulis Mohammad H Fadel  dalam artikelnya “Egypt: The politics of reforming al Azhar” di portal Middle East Eye.

Apa yang dilakukan adalah manifestasi ketakutan Sisi terhadap kumpulan yang bergerak dalam diam di Al Azhar.

Baginya, kelompok berkenaan menjadi duri dalam daging pentadbirannya.

Meskipun Al Azhar dipimpin oleh badan yang mendakwa “bebas” dari kerajaan, namun majoriti mereka yang berada di situ khususnya para pelajar dan produk yang dikeluarkannya, menyokong dan bersimpati dengan perjuangan Ikhwanul Muslimin.

Bagi penulis, pengalaman berada dalam tahanan ketika membuat liputan Arab Spring, menjadikan Mesir hanya indah pada nama. – SM

Show More

Related Articles

Back to top button