KecekLuar Negara

Mampukah Amerika ketepikan Mohammed bin Salman?

Razali Awang melaporkan dari Turki

MASA depan Mohammed bin Salman aka MBS di kaca mata kepimpinan baharu White House semakin nampak ketara. Sejak Joe Biden menjadi Presiden Amerika Syarikat ke-46, Putera Mahkota itu yang selama ini “comolot” dengan Donald Trump tidak berada dalam senarai “kesukaan”.

Dalam kenyataan sebelum ini, jurucakap White House, Jen Psaki menjelaskan yang sebarang urusan akan dibuat dengan rakan sejawat Joe Biden iaitu Raja Salman bin Abdulaziz.

“Rakan sejawat presiden adalah Raja Salman dan saya menjangkakan masa yang sesuai untuk beliau berbincang dengan Baginda. Saya tidak dapat agak tarikh mengenai perkara itu”, katanya dalam satu kenyataan.

Satu demi satu sisi gelap putera mahkota yang berusia 35 tahun itu didedahkan dengan lebih terbuka kepada khalayak.

Terkini, laporan perisikan Amerika Syarikat mengesahkan pembabitannya yang dikatakan merestui pembunuhan Jamal Khashoggi, di pejabat konsulat negara itu di Istanbul pada Oktober 2018.

Selepas bertahun-tahun dengan tindak tanduk “beraja di mata dan bersultan di hati”, desakan kumpulan hak asasi manusia ke atas pentadbiran Biden semakin kuat untuk melakukan sesuatu bagi membela nasib mereka yang menjadi mangsa kerakusan kuasa MBS.

Selain meneruskan usaha dengan Ahli Kongres untuk mengenakan sekatan, mereka turut merayu supaya dia diambil tindakan di mahkamah Amerika Syarikat.

“Kami akan terus mendesak yang Mohammed bin Salman dan hartanya disekat”, kata Sarah Leah Whitson of Democracy for the Arab World Now (DAWN).

Kenyataan itu turut disokong Ahli Demokrat, Ilhan Omar yang memaklumkan pihak penyokong akan niat beliau untuk memperkenalkan undang-undang sekatan.

“Hari-hari seterusnya, saya bercadang untuk mengemukakan perintah untuk menyekat Putera Mohammed bin Salman terhadap peranannnya dan pencabulan hak asasi manusia lain”, katanya Jumaat lalu.

Kini proses untuk mengadili MBS dari luar semakin hampir apabila Senator Ron Wyden, Anggota kanan Jawatankuasa Perisikan Senat dan Anggota Jawatankuasa Dewan Hal Ehwal Luar, memberikan sokongan.

Dalam isu yang sama, tunang Khashoggi, Hatice Cengiz, yang terpaksa menunggu dua tahun untuk membela kematiannya, bertekad untuk meneruskan “kempen untuk menghukum Putera Mahkota”.

MBS ketika era Trump dilihat sebagai anak raja yang boleh dijinak dengan strategi yang disokong pentabirannya, namun kini semuanya sudah berlalu. Tiada siapa lagi yang kebal dengan pengaruh wang dan kuasa.

The Committee to Protect Journalists telah memulakan usaha menyaman pegawai Amerika Syarikat yang mengetahui rancangan MBS untuk membunuh Khashoggi, yang ketika dibunuh adalah Penduduk Tetap Amerika Syarikat.

Kini, tekanan semakin kuat. Freedom Initiative  yang bekerjasama Amnesty International menubuhkan  Freedom First Campaign dengan matlamat untuk menghalang mana-mana syarikat antarabangsa dan hiburan dari melabur di Arab Saudi sekaligus memberi kesan besar terhadap rancangan Visi 2030 yang dirintisnya bagi menjadikan negara itu tidak bergantung dengan hasil dan eksport minyak.

Khashoggi hanya secebis kisah rakyat Saudi yang dizalimi.

Allahyarham beruntung kerana mempunyai pengaruh yang besar dalam dunia kewartawanan dan selagi kematiannya tidak terbela, kami tidak akan berhenti menulis untuk mencari keadilan. – SM

(Visited 1,211 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button