Rencah Hidup

Hadiah terakhir Ebit Lew buat keluarga Pak Aq

PENDAKWAH Islam Ebit Lew berkesempatan membelikan barangan keperluan kepada keluarga Ishak Darus atau Pak Ak sebelum berangkat pulang ke ibu negara hari ini.

Beliau membelikan peti ais, mesin basuh, periuk nasi, cerek, dapur gas, kipas, tilam, baju raya, bantal dan peralatan rumah yang lain untuk kemudahan keluarga tersebut.

Ebit berkata, beliau turut berbincang dengan jiran baharu Pak Aq untuk memastikan anak-anak yang masih kecil bersekolah dan mendapat pendidikan agama.

“Selepas ini saya serahkan (keluarga ini) pada pihak berwajib. Terima kasih dengan bantuan kejiranan baru yang baik tadi. Mereka beramai bawa mesin rumput. Bawa katil.

“Kami bincang aturkan anak sekolah. Aturkan rawatan kesihatan pak ak dan isteri yang perlu rawatan mingguan. Ada guru mengaji. Kelas di surau selepas PKP,” kata Ebit.

Kunjungan Ebit ke rumah keluarga terbabit yang daif dan kotor mendapat perhatian masyarakat dan juga beberapa pihak berkuasa seperti Lembaga Zakat Negeri Kedah, kariah masjid dan jiran Pak Ak.

Mereka mendakwa keluarga tersebut menerima bantuan zakat dan juga pertolongan dari masjid dan masyarakat sekitar selama ini.

Pak Aq mempunyai seorang isteri yang tidak bekerja, tiga orang anak lelaki dan tujuh orang anak perempuan yang masing-masing berumur 33 tahun sehingga 17 tahun.

Lapan daripada 10 orang anak Pak Ishak tinggal bersama beliau di rumah tersebut bersama-sama 10 orang cucu yang menjadikan keseluruhan isi rumah yang tinggal di rumah yang daif itu seramai 20 orang.

“Saya minta maaf pada semua. Mereka semua dah bantu banyak sangat. Setitik sahaja usaha saya berbanding mereka semua. Saya urus cuma beberapa orang dah menangis penat. Mereka semua urus seluruh negeri dan setiap pelusuk negeri sepanjang hayat. Saya cuma sikit sangat.

“Saya pohon janganlah salahkan jiran, JKM atau pusat zakat atau mana-mana orang.

“Saya salah saya minta maaf. Dari hujung rambut sampai hujung kaki pada JKM, LZNK, kejiranan lama Pak Aq dan semua. Saya pohon ampun. Saya cuma ingin kasih sayang buat mereka. Saya cuma tak boleh tahan mereka duduk situ. Saya salah saya minta maaf,” mohon Ebit.

Ebit berkata, beliau bersyukur setelah lebih 15 tahun keluarga tersebut buat kali pertama dapat pindah dari pondok usang dan menyedihkan. Beliau sebelum ini turut berjanji untuk membayarkan sewa rumah keluarga terbabit selagi beliau masih hidup.

“Terima kasih penduduk taman dan jiran baru yang sangat positif dan membantu. Terima kasih. Tanpa tuan puan saya tak mampu buat apa-apa pun.

“Doakan dah selesai semua di utara. Nak terus balik kl. Rindu isteri dan anak-anak. Nak jadi suami dan ayah menikmati hidup rasa syukur,” kata Ebit Lew

(Visited 622 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button