NegeriRencah Hidup

Daun nipah rezeki keluarga Makcik Manis

Mampu menjana pendapatan RM800 sebulan

PADA asalnya kerja menyiat daun nipah dilakukan untuk upah menjadikan daun itu sebagai rokok daun yang popular dan menjadi kegemaran orang lelaki di kampung.

Maklumlah, sekotak rokok 20 batang, kalau tak silap, berharga lebih RM15 dewasa kini dan bagi golongan lelaki di kampung yang menghisap rokok, rokok daun menjadi pilihan mereka.

Manis Abdullah menunjukkan daun rokok yang dipek dalam “gendang” untuk diletakkan di kedai runcit berhampiran rumah.

Ia bukan sahaja murah tetapi cara menghisap rokok daun berbeza kerana ada yang hanya menyelitkan tembakau dan ada juga yang meracik cengkih untuk ditabur di atas tembakau dan digulung dalam daun nipah yang dicarik cantik untuk dijadikan rokok daun.

Manis Abdullah, 64, berkata, sudah empat tahun beliau melakukan kerja-kerja mencarik daun nipah yang mana, kerja itu dilakukannya di rumah.

Kata Manis, daun-daun nipah dihantar oleh seorang pengeluar rokok daun dari Perak ke rumahnya untuk dicarik.

“Saya terima upah daripada pengeluar, RM1.50 setiap satu kilogram daun nipah yang disiat atau dicarik di mana dalam sehari, dapatlah RM20 ,” katanya kepada wartawan SUARA MERDEKA ketika menemui beliau di Kampung Telok Jambu, Bintong, Perlis.

Manis memberitahu, kerja menyiat daun ini perlu dilakukan dengan berhati-hati kerana daun nipah ada tulang dan tulang daun nipah yang tajam ini boleh mencederakan tangan.

Bagaimanapun, kata Manis, sejak beberapa bulan lalu, beliau terfikir untuk menghasilkan sendiri rokok daun kerana pengeluar berkenaan berhenti mengupahnya kerana tidak boleh rentas negeri dalam keadaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.

“Kebetulan saya diberitahu ada seorang pembekal daun nipah di sebuah kampung dekat sini. Jadi, saya minta suami dan anak tolong belikan 50 kilo daun nipah sebagai percubaan untuk mengusahakan rokok daun,” katanya.

Manis Abdullah menunjukkan kerja menyiat daun nipah yang perlu dilakukan dengan cermat.

Menurut Manis, beliau membeli daun nipah pada harga RM2.80 sekilo dan percubaan pertamanya untuk menghasilkan rokok daun, tidak menghampakan.

Manis berkata, beliau tidak mempunyai masalah untuk memasarkan rokok daun kerana apa yang dihasilkannya, hanya dijual di kedai berdekatan kampungnya.

“Saya tolak kepada pekedai  RM2 untuk seikat daun rokok yang biasanya dipek dalam “gendang” berisi 50 ikat,” ujarnya.

Daun nipah siap disiap dijemur sebelum dipotong.

Sambutan hangat yang diterimanya membuatkan Manis mula membeli daun nipah dalam jumlah yang lebih banyak iaitu 120 kilogram bagi setiap dua minggu.

“Saya berhasrat untuk meningkatkan lagi pengeluaran tetapi pembekal tidak boleh memenuhinya kerana bekalan daun nipah ini terhad,” katanya.

Beliau berkata, bagi setiap 10 kilogram daun nipah, beliau mampu menghasilkan 50 ikat rokok daun untuk pasaran.

“Alhamdulillah, dapatlah duit untuk menampung perbelanjaan keluarga dan kalau dikirakan, adalah dalam lebih kurang RM800 sebulan,” katanya yang bersukur kerana mampu menjana pendapatan untuk keluarga. – SM

(Visited 1,638 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button