Kecek

Gadai nyawa untuk beri anak-anak makan…

DEMI menyara keluarga, rakyat Syria yang terperangkap dengan konflik di negara sendiri terpaksa menjadi tentera upahan di Azerbaijan. Tawaran 80 kali lebih tinggi berbanding upah di tempat sendiri, membuatkan mereka nekad bergadai nyawa. Ada yang ke sana dengan harapan mampu memberikan sara hidup yang lebih baik kepada anggota keluarga.

Dalam temuramah kepada agensi berita AFP, salah seorang anggota kumpulan anti Bashar al Assad yang disokong Turki di Aleppo, Abu Ahmad berkata dia sedang menunggu ke Karabakh, untuk mencari makan.

“Kami hilang kampung dan rumah, kami tiada apa untuk makan.

“Saya sedang menunggu giliran untuk ke Azerbaijan untuk menyimpan wang, untuk pulang semula dan memulakan perniagaan”, katanya yang telah lima tahun berperang menyertai kumpulan anti Bashar al Assad.

Jelasnya lagi, dia telah menandatangan persetujuan untuk pergi berperang lebih seminggu lalu. Sebagai ganjaran, Abu Ahmad akan memperolehi pendapatan USD2,000 sebulan.

Upah yang diterimanya berkali ganda jika dibandingkan dengan pendapatan yang diterima ketika ini, hanya USD25 sebulan atau TL200.

Meskipun berita kematian tentera upahan Syria yang berjuang di Nagorno Karabakh tersebar luar dalam kalangan mereka, bapa muda ini sedia mengambil risiko.

“Kami tiada pilihan. Kami berada pada tahap terpaksa korbankan diri untuk memberi makan kepada anak-anak kami”, katanya dalam rakaman perbualan telefon.

Menurut The Syrian Observatory for Human Rights (SOHR) l,200 tentera upahan Syria telahpun berada di Azerbaijan melalui Turki dan beratus lagi sedang menunggu masa untuk ke sana.

Menurutnya semua tentera berkenaan dijanjikan pendapatan bulanan antara USD1,500 hingga USD2,000 sebulan.

Sementara itu bagi Abu Adnan yang berasal dari barat laut Idlib, dia yang terlepas peluang untuk dihantar ke Libya dan kali ini bersedia untuk ke Azerbaijan.

Katanya, gaji bulanan TL200 yang dibayar tidak mampu untuk membeli roti bagi memberi keluarganya makan. Sedangkan dia mampu memperolehi pendapatan USD1,500 jika menjadi askar upahan.

Namun begitu, keputusannya bukan semata-mata kerana wang.

“Kami kekal bersama sekutu kami, Turki kerana pendiriannya dengan kami menentang Rusia dan berjuang untuk Syria dan kami perlu bersama dengannya sepanjang masa,” katanya.

Menurut SOHR, sejak Ahad lepas, sekurang-kurangnya 64 pejuang Syria pro Turki telah terkorban.

Dalam laporannya, ia mendakwa dalam tempoh 48 jam sahaja, lebih 36 terbunuh.

Sebahagian besar daripada mereka telahpun berada di sana sebelum pertempuran di Nagorno-Karabakh tercetus minggu lalu dan menyangka dibawa ke tempat iu untuk menjaga kawasan telaga minyak.

Kisah tentera upahan ini didedahkan dalam laporan portal Middle East Eye Syrian rebels sign up to fight for Azeris to feed families”.

Dalam ketegangan terkini di rantau Caucasus itu, Presiden Turki Recep Tayyib Erdogan dengan terbuka menyuarakan pendirian untuk menyebelahi Azerbaijan. – SM

(Visited 402 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button