Nasional

Pemandu mabuk sebabkan kematian bakal dipenjara 20 tahun – Guan Eng

Oeh BERNAMA

Individu yang didapati bersalah memandu di bawah pengaruh alkohol, dadah dan memandu secara berbahaya hingga menyebabkan kematian dicadang dikenakan hukuman denda sehingga RM100,000.

Menteri Kewangan Lim Guan Eng berkata kerajaan sedang merangka untuk meminda hukuman terhadap kesalahan itu dengan hukuman penjara bagi pesalah akan turut ditingkatkan kepada 20 tahun berbanding 10 tahun ketika ini.

“Kerajaan sedang merangka untuk meminda hukuman bagi Seksyen 41 (Akta Pengangkutan Jalan 1987) ini bagi mereka yang telah menyebabkan kemalangan sehingga menyebabkan kematian apabila memandu dalam keadaan mabuk,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menziarahi lima beradik yang kehilangan bapa mereka, Khairizul Mohamad Noor, 39, selepas dilanggar pemandu kereta dipercayai mabuk dalam kejadian Ahad lepas, di kediaman keluarga itu di Jalan Hj Mohd Saad, dekat Bagan Jermal, di Butterworth hari ini.

Menurutnya, pada masa ini hukuman di bawah seksyen berkenaan memperuntukkan penjara maksimum 10 tahun dan denda tidak melebihi RM20,000.

Beliau berkata kadar kematian akibat kemalangan jalan raya di Malaysia agak tinggi iaitu antara yang tertinggi di dunia.

“Jadi, kita harus mendapat kerjasama daripada orang ramai sungguh pun kadar sebenarnya sudah menurun tetapi kita harap kita dapat mengurangkan kadar itu. Kita tidak mahu lihat hampir 7,000 korban nyawa berlaku hampir setiap tahun akibat kemalangan jalan raya,” katanya.

Terdahulu, Lim yang juga Ahli Parlimen Bagan meluangkan masa menyantuni lima beradik itu dan turut menyampaikan wang sumbangan sebanyak RM5,000.

“Sebelum ini, pihak kerajaan negeri, agensi dan Jabatan Kebajikan Masyarakat termasuk pejabat Parlimen Bagan telah menyampaikan sumbangan kepada keluarga ini dan saya ucapkan takziah kepada keluarga ini dan harap ibu kanak-kanak ini akan cepat sedar dan sembuh. Kita akan terus berikan bantuan dan perhatian kepada keluarga ini,” katanya.

Dalam nahas kira-kira pukul 5 pagi 9 Feb lepas, Khairizul meninggal dunia di tempat kejadian manakala isterinya, Zuriana Hasan, 36, yang cedera parah kini dirawat di Hospital Seberang Jaya, dalam keadaan koma.

Dalam kejadian itu, motosikal yang ditunggang pasangan suami isteri itu dilanggar dari belakang oleh sebuah kereta yang dipandu seorang lelaki dipercayai dalam keadaan mabuk di Kilometer 140.2 Lebuhraya Utara Selatan menghala utara, susur ke Perai di Bukit Mertajam.

(Visited 315 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button