Nasionalpilihan

Maritim Malaysia aktifkan semula OP PAGAR LAUT sempena Ramadan dan Syawal

AGENSI Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) mengaktifkan semula OP KHAS PAGAR LAUT di seluruh perairan negara khususnya di kawasan titik panas (hotspot) sempena Ramadan dan Syawal tahun ini.

Operasi khas ini dijalankan dalam empat fasa bermula Fasa I iaitu persediaan (pengumpulan maklumat dan siap siaga aset) pada 12 Mac hingga 17 Mac 2024. Diikuti Fasa II iaitu penguatkuasaan sebelum perayaan (18 Mac hingga 1 April). Seterusnya  Fasa III merangkumi penguatkuasaan semasa perayaan (2 April hingga 16 April) dan diikuti Fasa IV iaitu penguatkuasaan selepas perayaan (17 April hingga 30 April).

Bakal melibatkan sebanyak 45 pelbagai aset milik agensi dan lebih 800 pegawai serta anggota di seluruh negara, OP KHAS PAGAR LAUT dilaksanakan bagi mengekang dan memerangi aktiviti jenayah rentas sempadan seperti pergerakan Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI), pencerobohan nelayan asing, penyeludupan masuk barangan kontraban seperti mercun serta penyeludupan barang-barang kawalan ke luar negara.

Justeru, sepanjang operasi berkenaan, Maritim Malaysia akan memperketatkan kawalan serta mengoptimumkan pengoperasian di perairan sempadan negara-negara jiran.

Selain rondaan dan operasi yang dijalankan, Maritim Malaysia turut bersiap sedia mengerahkan aset milik Agensi bagi melaksanakan tugas Operasi Mencari dan Menyelamat (CARILAMAT) sekiranya berlaku apa-apa insiden kemalangan kapal atau bot penumpang yang pulang ke kampung halaman untuk menyambut lebaran nanti.

Untuk rekod, pada tahun lalu Maritim Malaysia telah berjaya menumpaskan 12 kes berprofil tinggi daripada 42 kes tangkapan membabitkan cubaan menyeludup masuk rokok, pencerobohan bot nelayan asing, kemasukan PATI serta kesalahan menyeludup barang kawalan iaitu petrol dan minyak masak dengan nilai keseluruhan rampasan sebanyak RM13 juta. – SM

Artikel berkaitan > Maritim Malaysia perketat kawalan sempadan perairan negara sempena sambutan Tahun Baharu Cina

(Visited 59 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button