Rencana

Enam naratif yang menghalalkan Rasuah

Profesor Dr. Mohd Tajuddin Mohd Rasdi

 

 

Pelajar universiti dan pensyarah universiti pun dua kali lima tak faham konsep pembangunan negara bangsa dengan berpaksikan integriti bermoral ugama sebenarnya. Aiya…susahlah ini macam!

 

UNTUK rakyat Malaysia yang inginkan negara bebas rasuah, kita terpaksa berhadapan dengan enam naratif yang bagi saya menghalalkan rasuah.

Naratif Pertama – Demi ‘kestabilan’ politik


Naratif ini berbunyi demikian,”Negara perlu mempunyai kestabilan politik agar ia tidak selalu bertukar tangan sebelum pilihanraya yang ditetapkan. Maka itu jika ada Wakil Parlimen atau ADUN yang sanggup melompat parti dengan habuan pangkat, jawatan dan projek‘demi kestabilan politik’ negara dan negeri maka ia adalah suatu perbuatan patriotik. Oleh kerana negara ini belum lagi ada undang-undang lompat parti maka kesemua perbuatan ini sah dan halal.”

Naratif Kedua – Demi ketuanan kaum

Naratif ini berbunyi macam berikut,”Supaya negara ini tidak dicemar oleh pemikiran ala Barat atau ala bukan Islam maka kaum ku perlu memegang pucuk pimpinan dengan apa cara sekalipun. Demi menyelamatkan maruah kaum ku yang tinggi nilai sosial dan ugama maka kaum ku perlu menjadi ‘tuan’ dan apa cara sekalipun perlu dibuat untuk mencapai matlamat tersebut. Wang ringgit diperlukan untuk memenangi pilihanraya dengan pujukan dan tarikan. Demokrasi pun adalah sebentuk rasuah sebab bila rakyat diberi sesuatu di tangan mereka, mereka akan mengundi kita. Kalau tak bagi, tak dapat undi, maka jatuhlah negara kaum ku serta maruah dan nilainya sekali.”

Naratif Ketiga – Ijtihad Halal

Naratif ini diceramahkan sedemikian,” Rasuah itu dibolehkan jika kita tengok pegawai itu tak cukup gaji dan banyak tanggugnan maka tak jadi salah lah dia. Atau pun pegawai itu memerlukan suntikan kewangan sebab ada musibah besar yang terjadi secara tiba-tiba maka perbuatan itu boleh lah kita maafkan. Ahli-ahli politik yang ada harta berjuta-juta pun kita kena tengoklah keperluan dia pun besar dan banyak tanggungan.”

Naratif Keempat – Demi Perjuangan Islam

Naratif seperti ini cukup klasik macam berikut,”Islam adalah ugama yang sebenarnya di dunia. Ugama lain semua karut marut. Maruah dan nilai Islam dikatakan Allah sebagai terbaik sekali dalam sejarah ketamadunan manusia. Maka itu perjuangan Islam untuk ditegakkan sebagai tempat teratas sekali dalam perundangan sehingga melepasi debat parlimen manusia adalah sebuah perbuatan suci dan dituntut. Jika ada peruntukan kewangan yang diberikan oleh ‘kawan-kawan’ parti lain bagi membantu realisasi ini maka haruslah ia diterima sebagai suatu sedekah pemberian Allah.”

Naratif kelima – Demi keseimbangan ekonomi

Naratif ini memang paling popular di kalangan kerani dan pegawai bawahan yang dapat sesuap dua dan ia berbunyi demikian,” Alahai….pemaju tu ada duit berkoyan-koyan dalam bank, kita minta enam tujuh ribu untuk percepatkan projek ratusan juta, apa halnya? Tak rasa apapun dia. Lagipun kalau restoran tu nak sijil halal cepat-cepat kena lah ada pengeras special, kalau tak tunggu lah satu dua bulan. Lagi pun boss kita pegawai dan ahli majlis atasan ambil puluhan ribu. Tengoklah BMW baru yang dia orang beli, ingat tu dari mana? Kalau dia orang dapat takkanlah ikan bilis macam kita tak dapat merasa sikit.”

Naratif Keenam – Rasuah itu bukannya mencuri

Saya dengar dari seorang Tok Guru bahawa rasuah itu bukan ditafsir kitab sebagai mencuri. Maka itu hukum potong tangan tak sah pada siperasuah. Kalau you curi baju mahal dan kasut mahal maka boleh potong tangan tetapi kalau melesapkan 40 billion ringgit hukumannya tak sampai teruk macam tu. Mencuri ada disebut jelas dalam kitab tetapi konsep menaikkan harga tender atau menyalurkan wang ke yayasan yang tak wujud atau membantu industri atau bank bankrap setelah di salah urus dengan sengaja, semua tu tak de dalam kitab cik abang oii..

Bagaimana kita semua nak counter naratif-naratif begini? Saya fikir pengajaran utama yang harus diberikan kepada rakyat adalah bahawa negara ini adalah milik semua rakyat. Orang kaya dicukaikan supaya hasil ini dapat dibahagi-bahagikan kepada projek-projek yang menguntungkan rakyat, bukan menguntungkan pegawai kakitangan awam atau Wakil Rakyat yang bersekongkol. Kalau kakitangan awam dan ahli politik dah ambil wang itu maka tinggal sikit sajalah yang nak diperuntukkan kepada rakyat miskin kebanyakkan. Tengok kes-kes dalam surat khabar bagaimana peritnya hidup rakyat. Siapa yang tolong mereka? Rakyat Malaysia yang budiman. Kalau tanya kerajaan, jawabnya bajet tak ada atau habis. Mana tidaknya, banyak wang disalah gunakan untuk berjalan ke luar negara atas alasan ‘berjalan sambil belajar’. Sebenarnya ia parti bersiar-siar makan angin. Jadi, duit yang dari minyak atau timah atau galian yang diusahakan kerajaan adalah milik rakyat. Kalau syarikat swasta yang kendalikan urusan, untung mereka di cukaikan dan tanah mungkin disewakan. Wang itu semua adalah untuk kebaikan semua rakyat.

Rakyat dulu ditipu dengan naratif pembangunan negara demi kepentingan rakyat maka projek-projek lumayan yang dipersoal parti pembangkang dipertahankan atas dasar pembangkang nak merosakkan kaum dan ugama. Saya ingat drama ini dah tak laku sebab ramai kawan-kawan saya berpendidikan oversea enam tahun. Tetapi mereka juga mempercayai naratif-naratif di atas terutama tentang agama dan kaum.

Akhir sekali, pada hemat saya, kita kena perbetulkan apa sebenar naratif pembangunan kaum dan agama. Selagi asyik terperangkap dengan ketakutan ‘musuh-musuh Islam atau Melayu’ maka susahlah kita nak bergerak. Kalau kita semua yang membaca artikel ini mati hidup balik tiga kali pun tak akan selesai isu rasuah ni, sebab golongan ustaz dan pendidik tak reti-reti konsep negara demokrasi. Pelajar universiti dan pensyarah universiti pun dua kali lima tak faham konsep pembangunan negara bangsa dengan berpaksikan integriti bermoral ugama sebenarnya. Aiya…susahlah ini macam!

(Visited 197 times, 1 visits today)

Show More

Related Articles

Back to top button