Nasional

Empat Universiti bergabung kaji Pedagogi Pendidikan STREAM

Dalam usaha memperkukuh pendidikan berteraskan Sains, Teknologi, Pembacaan, Kejuruteraan, Seni dan Matematik (STREAM), satu Memorandum Persefahaman (MoU) “1 + 3 Matching Grant” dimeterai antara Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Universiti Antarabangsa UNITAR, Universiti SEGI dan Universiti Teknologi Mara (UiTM) baru-baru ini.

Majlis MoU yang diadakan di UNITAR itu menyaksikan ditandatangani oleh Naib Canselor UPSI, Prof. Datuk Dr. Md Amin Md Taff; Naib Canselor UNITAR, Prof. Emeritus Tan Sri Dato’ Sri Ir Dr. Sahol Hamid Abu Bakar; Naib Canselor Universiti SEGI, Prof.

Dr. Azrin Esmady Ariffin dan Naib Canselor Universiti Teknologi Mara (UiTM), Prof. Datuk Ts. Roziah Mohd Janor.

Prof Md Amin (dua dari kanan), Tan Sri Sahol Hamid (dua dari kiri), Prof Azrin Esmady (dua dari kanan) dan Prof. Roziah memegang dokumen yang ditandatangani di UNITAR.

Naib Canselor, Prof Datuk Dr Md Amin Md Taff berkata melalui MoU tersebut, geran sepadan bernilai RM80,000 ini akan memfokus kepada kajian yang bertajuk “Memanusiakan Pedagogi dalam Talian Melalui Integrasi Pendidikan STREAM di Universiti-universiti Malaysia bagi Perkhidmatan Teknikal Pengkomputeran”.

Beliau berkata kumpulan penyelidik UPSI dari Fakulti Komputeran dan Meta-Teknologi (FKMT) terdiri daripada Prof. Dr. Che Zalina Zulkifli, Dr. Nor Asiah Mohamad@Razak, Dr. Yusri Abdullah, Dr. Suliana Sulaiman dan Hasnatul Nazuha Hassan.

Katanya, mereka akan melaksanakan kajian terhadap pelajar dari bidang kejuruteraan perisian, teknologi maklumat, sains komputer, reka bentuk dan teknologi serta permainan digital.

Prof Md Amin bersama wakil UNITAR, SEGI dan UiTM sedang menandatangani dokumen MoU.

Menurut Prof Md Amin Kumpulan penyelidik UNITAR akan menumpukan kepada pelajar Sarjana Pentadbiran Perniagaan (MBA) dan Sarjana Teknologi Maklumat (MIT), sementera penyelidik SEGI kepada pelajar bidang kesihatan dan sosial. Penyelidik dari UiTM pula akan berfokus kepada pelajar dalam bidang pendidikan.

Beliau berkata pelaksanaan kajian dua tahun ini dijangka menyumbang kepada aspek kualiti pedagogi pendidikan STREAM dalam talian, sekaligus memberi impak kepada kemenjadian pelajar dalam bidang kejuruteraan, teknikal dan teknologi maklumat. Ianya bertepatan dengan hasrat UPSI sebagai peneraju bidang pendidikan di Malaysia.

Dapatan kajian ini juga akan dijadikan panduan bagi pembinaan Modul STREAM selaras dengan Pembelajaran Abad 21. -SM

Baca : UPSI anjur sambutan Pink Oktober tekankan penjagaan kesihatan

(Visited 59 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button