EkonomiNasional

Pavilion Malaysia di Thailand Franchise and Business Opportunity 2023 sasar RM30 juta pelaburan

KETUA Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Azman Mohd Yusof  telah mengetuai delegasi Kementerian pada Lawatan Kerja Rasmi dan Majlis Perasmian Pavilion Malaysia di Thailand Franchise and Business Opportunity 2023 (TFBO), diadakan di Bangkok, Thailand bermula dari 13 – 16 Julai ini

Delegasi terdiri daripada pegawai dari KPDN, Persatuan Francais Malaysia (MFA) dan 10 jenama Malaysia iaitu Marrybrown, Kenny Rogers Roasters, US Pizza, Cleanpro Express, Deemcee, Global Art, UCMAS, HOME, Q-dees dan Little Caliph.

Semasa majlis perasmian Pavilion Malaysia di Pusat Perdagangan dan Pameran Antarabangsa Bangkok, Bangkok, Thailand pada 13 Julai lalu, turut hadir,  Datuk Jojie Samuel, Duta Besar Malaysia ke Thailand.

Azman berkata, jenama Malaysia ini dijangka mencapai sasaran RM30 juta pelaburan di platform ini.

“TFBO yang merupakan acara tahunan di Bangkok menarik hampir 7,000 pelabur dari 36 negara di seluruh dunia termasuk Malaysia.

“Ia merupakan platform penting bagi industri francais Malaysia mengambil peluang ini untuk mempelbagaikan pelaburan francais mereka di Thailand,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, misi yang dirancang di bawah Program Pengukuhan Francais bagi Meningkatkan Eksport (EFDP) berhasrat untuk menggalakkan pengembangan jenama Malaysia ke Thailand dan mencari pelabur berpotensi melalui program pemadanan perniagaan.

Katanya lagi, jenama Francais Malaysia telah berkembang sebagai identiti jenama terkemuka di seluruh dunia, dengan lebih daripada 68 jenama di 80 negara.

“Kementerian bekerjasama rapat dengan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE), Persatuan Francais Malaysia (MFA) dan pemain industri untuk mencapai sasaran dan menggandakan momentum,” katanya.

Pada masa yang sama, Azman juga telah mempengerusikan sesi dialog bersama Suttichai Panitnarakul, Presiden Franchise & License Association of Thailand (FLAT), Prof. Dr. Azmawani Abd Rahman, Persatuan Francais Malaysia dan pemain-pemain industri francais dari Malaysia dan Thailand.

Antara perkara-perkara yang diketengahkan adalah:
i. Francaisor jenama Malaysia terutamanya di bawah kategori restoran makanan dan minuman (F&B) serta pendidikan kanak-kanak akan dapat mengetahui proses atau prosedur yang perlu dipatuhi dengan mudah dan berkesan untuk membolehkan syarikat francais menembusi pasaran negara Thailand menerusi saluran Persatuan Francais Thailand.
ii. Persijilan halal yang dikeluarkan oleh JAKIM mendapat pengiktirafan di semua negara termasuk negara Thailand dan perkara ini menjadi kelebihan untuk syarikat francais Malaysia berkembang ke negara Thailand.
iii. Mengukuhkan kerjasama di antara Malaysia dan Thailand berteraskan model ekonomi sempadan menerusi perbincangan dengan pihak-pihak yang berkenaan. Model ini akan diadaptasi untuk digunapakai dengan negara-negara jiran yang lain seperti Singapura dan Indonesia.

Untuk rekod, pada 2021, industri Francais di Malaysia mencatat jumlah jualan RM30 bilion dengan peningkatan berbanding 2020, dengan nilai jualan RM14.6 bilion. – SM

BACA Kolaborasi MILO® – Pavilion  Bukit Jalil  lancar ‘Charity At Heart’

BACA Buttonscarves X Mira Filzah kini di Pavilion

(Visited 137 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button