Alam SekitarNasionalNegeriRencah Hidup

Empangan Timah Tasoh surut jejaskan ekonomi 30 nelayan darat

EMPANGAN Timah Tasoh yang mulai susut airnya sejak bulan Mac lalu telah memberi kesan memeritkan kepada 30 nelayan darat yang mengharapkan tasik ini sebagai sumber rezeki.

Rata-rata nelayan darat ini mengeluh bukan disebabkan hasil tangkapan berkurangan tetapi permintaan ikan air tawar menurun secara mendadak.

Orang ramai mengambil kesempatan menjala ikan apabila air di Empangan Timah Tasoh surut.

Timbalan Pengerusi My Komuniti Perikanan (MyKP) Timah Tasoh Perlis, Abd Azhar Abd Aziz berkata, nelayan kini dalam dilema apabila terpaksa bersaing dengan orang awam.

“Air surut telah menarik perhatian orang ramai yang datang dari segenap tempat untuk menjala ikan,” katanya kepada SUARA MERDEKA.

Azhar berkata, sekaligus nelayan yang selama ini membekalkan ikan kepada peniaga ikan air tawar dan juga ikan pekasam juga terhenti.

Katanya, mereka tidak membeli lagi dari nelayan sebaliknya datang menjala sendiri ikan di tasik,” katanya.

Abd Azhar Abd Aziz

Lebih menyedihkan katanya, nelayan juga gagal bersaing dari segi harga apabila ada yang menjual dengan harga sangat murah dari pasaran iaitu ikan talapia RM4 seekor.

Azhar berkata, keadaan ini menyebabkan pendapatan nelayan merosot teruk iaitu sebelum ini mampu memperoleh dari RM1,000 hingga RM1,500 sebulan tetapi sekarang antara RM600 hingga RM700 sahaja.

Bagaimanapun katanya nelayan tetap melakukan tugas menangkap ikan seperti biasa.

Katanya, mereka kini menumpukan perhatian kepada tangkapan ikan belida yang mendapat permintaan tinggi di pasaran kerana kaum Cina menggunakannya untuk dibuat bebola ikan.

“Harga ikan belida lebih baik iaitu RM8 sekilogram serta mendapat sambutan yang baik,” katanya.

Beliau berkata, nelayan hanya berharapkan kepada tangkapan ikan ini sahaja bagi menampung perbelanjaan seharian.

Azhar berkata, kolam ikan air tawar di Santuari Ikan Air Tawar juga sudah lama kering.

“Sebelum ini ia memang menjadi tumpuan pelancong ke sini tetapi kini ia menjadi sepi,” katanya.

Beliau berharap, fenomena ini akan segara berakhir supaya kehidupan nelayan darat tasik ini dapat kembali bersinar setelah beberapa bulan dilanda dugaan. – SM

BACA Air Empangan Timah Tasoh mampu bertahan sebulan lagi

BACA Pembenihan awan di tujuh kawasan empangan

(Visited 195 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button