Nasional

Pelantikan ahli LPU KUIPs, Raja Muda Perlis titah agar laksanakan tanggungjawab sebaiknya

KUALA PERLIS, 25 Februari – Ahli Lembaga Pengarah Universiti (LPU) Kolej Universiti Islam Perlis (KUIPs) diingatkan agar melaksanakan tugasan dan amanah masing-masing dengan penuh ketelusan, cekap dan berintegriti.

Ini kerana setiap ahli terdiri daripada golongan profesional yang mempunyai kemahiran, pengalaman dan kebijaksanaan dalam bidang masing-masing dalam memacu hala tuju pembangunan pendidikan di KUIPs agar mencapai satu tahap kecemerlangan yang tinggi.

Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail merangkap Canselor Kolej Universiti Islam Perlis (KUIPs) bertitah pelantikan ahli LPU merupakan satu keperluan dalam sesebuah institusi pengajian tinggi.

Baginda turut meletakkan harapan agar semua ahli LPU mampu melonjakkan KUIPs menjadi sebagai satu institusi pendidikan yang berteraskan Islam yang berwibawa dan dihormati serta menjadi contoh kepada institusi pendidikan berteraskan agama di negara ini.

“Saya percaya dengan pelantikan ini, KUIPs dapat mencapai visi dan misi iaitu menjadi institusi akademik berteraskan Islam terkemuka di peringkat antarabangsa yang menawarkan gabungan program pengajian Islam tradisional dan kontemporari di samping melahirkan insan berilmu dan beramal yang kompeten dalam memangkin pembangunan dan pemodenan negara,” titah baginda pada Majlis Pengurniaan Watikah Pelantikan Watikah Pelantikan Lembaga Pengarah Universiti, Kolej Universiti Islam Perlis di Auditorium Kolej Universiti Islam Perlis di sini.

Pelantikan melibatkan lapan ahli antaranya Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti KUIPs, Datuk Profesor Emeritus Dr Kamarudin Hussin, Rektor KUIPs, Profesor Madya Dr. Muhamad Rozaimi Ramle dan Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Datuk Abang Salehuddin Abang Shokeran.

(Visited 451 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button