Nasional

Dr. Mahathir sokong boikot produk Perancis

ORANG Islam di seluruh dunia berhak memboikot produk keluaran Perancis kerana perbuatan Presiden negara itu Emmanuel Macron menyalahkan orang Islam ekoran kejadian keganasan adalah tidak wajar.

Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, Islam tidak menyokong keganasan dan kejadian itu dilakukan oleh seorang individu daripada berbilion umat Islam yang ada.

“Macron tidak menunjukkan bahawa dia beradab. Dia sangat primitif dalam menyalahkan agama Islam dan orang Islam atas pembunuhan guru sekolah yang menghina (Nabi Muhamad) itu.

“Itu (keganasan) tidak selari dengan ajaran Islam. Tetapi tanpa mengira agama yang dianuti, orang yang marah membunuh. Orang Perancis dalam sejarah mereka telah membunuh berjuta-juta orang. Ramai yang beragama Islam,” kata Dr. Mahathir dalam hantara di blognya.

Menurut Dr. Mahathir, orang Islam berhak untuk marah dan membunuh berjuta-juta orang Perancis kerana pembunuhan beramai-ramai pada masa lalu.

Tetapi kata beliau, orang Islam tidak pernah menuntut dilaksanakan undang-undang nyawa di balas dengan nyawa.

“Orang Islam tidak sepatutnya melakukannya. Perancis juga tidak patut melakukannya. Sebaliknya orang Perancis harus mengajar rakyatnya untuk menghormati perasaan orang lain.

“Oleh kerana anda telah menyalahkan semua orang Islam dan agama Islam atas apa yang dilakukan oleh seorang individu yang marah, maka orang Islam berhak menghukum orang Perancis. Boikot tidak dapat mengimbangi kesalahan yang dilakukan oleh Perancis selama ini,” katanya. – SM

 

(Visited 281 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button