Mahkamah

Dua individu direman empat hari kes rasuah lebih RM300,000

Dua individu membabitkan seorang pegawai dan bekas pegawai sebuah bank direman empat hari kerana disyaki meminta dan menerima rasuah daripada beberapa buah firma guaman di sekitar Melaka berjumlah RM316,064.33.

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Melaka berjaya mendapatkan perintah reman terhadap kedua-dua suspek sehingga Ahad ini dikeluarkan Majistret Mahkamah Melaka, Nabilah Nizam, di sini, hari ini.

Menurut sumber, suspek berumur 35 tahun merupakan bekas pegawai bank di Melaka manakala suspek 43 tahun masih bekerja di ibu pejabat bank sama di Petaling Jaya melakukan perbuatan tersebut antara 2018 hingga 2022.

Katanya, kedua-dua suspek itu disyaki menerima suapan dalam membantu memberikan rujukan kes kepada beberapa firma guaman untuk urusan dokumentasi pinjaman hartanah daripada institusi kewangan tersebut.

Terdahulu, suspek tiba di mahkamah menaiki van khas atau Special Purpose Vehicle (SPV) SPRM pada pukul 8.55 pagi.

Sementara itu, Pengarah SPRM Melaka, Adi Supian Shafie ketika dihubungi mengesahkan tangkapan ke atas kedua-dua suspek.

Menurutnya, kedua-dua individu berkenaan ditahan kira-kira pukul 6 petang Rabu di Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Melaka bagi membantu siasatan.

Beliau berkata, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 16 (a)(A) Akta SPRM 2009 yang mana jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman denda lima kali nilai suapan atau RM10,000 yang mana tinggi dan dipenjara tidak melebihi 20 tahun. -SM

(Visited 27 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button