fbpx


Politik

‘Di hari saya tidak berkuasa, masih ada sokongan ikhlas rakyat’ – Najib

BEKAS Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menyifatkan hari yang beliau lalui semalam sebagai satu hari yang panjang.

Namun menurutnya, kehadiran rakyat rakyat dari segenap lapisan masyarakat yang memberi sokongan di tengah-tengah Covid-19 menjadi ancaman adalah sesuatu yang tidak beliau sangka.

Ahli Parlimen Pekan itu sebak kerana ketika dia tidak berkuasa masih ada sokongan ikhlas daripada rakyat yang hadir untuk menunjukkan persahabatan sejati.

“Ada seperkara yang saya tidak sangka. Bukan, bukan keputusan penghakiman.

“Apa yang saya lihat setibanya kereta saya di Masjid Wilayah pagi tadi. Menerusi tingkap kereta pada mulanya dan ketika berjalan menuju ke mahkamah.


“Saya lihat wajah anak-anak muda, dalam lingkungan 20-30an. Saya lihat ada warga emas, pakcik-pakcik dan makcik-makcik. Ada yang bertongkat, ada yang dipapah. Saya lihat ada golongan kurang berupaya di atas kerusi roda,” kata Najib.

Menurut Ahli Parlimen Pekan itu, wajah-wajah yang beliau lihat hadir memberi sokongan kepadanya semalam adalah mereka yang tidak beliau kenali.

Kebanyakkan wajah yang hadir adalah rakyat biasa yang tidak mempunyai pangkat mahupun gelaran.

“Ya, saya faham mengenai kritikan pematuhan SOP Covid-19. Saya percaya mereka yang hadir juga. Mereka semua yang hadir patuh kepada peringatan polis serta merta dan ada yang bersurai.

“Saya tertanya kepada diri, kemudian kepada pegawai ketika di perkarangan. Siapakah mereka? Mengapa mereka di sini? “They are here for you, Sir” Jawapan yang saya terima ini amat menyentuh hati,” kata Najib.

Menurut Najib, beliau diberitahu kebanyakkan yang hadir terdiri daripada kalangan mereka orang kampung, pekerja kontrak, peniaga kecilan, buka warung, pengusaha kantin.

Kumpulan yang hadiri itu, kata beliau merupakan lapisan masyarakat yang menerima manfaat dan bantuan daripada dasar ketika dia menjadi Perdana Menteri.

“Secara ikhlas dari hati saya, saya nak sampaikan satu mesej kepada semua. Saya tidak dapat berjumpa, tidak dapat membalas ucapan sokongan saudara-saudari satu-satu.

“Maafkan saya. Izinkan saya sampaikan penghargaan di sini. Terima kasih. Terima kasih. Terima kasih. Terima kasih tidak terhingga.

“Tidak saya sangka. Saya ada ‘aset’ yang begitu bernilai dalam saudara-saudari. Persahabatan sejati. Di hari saya sudah tidak berkuasa ini. Di hari saya sudah tiada apa-apa.

“Saya masih ada persahabatan sejati dan sokongan ikhlas rakyat. Andalah rakan dan keluarga yang saya ada. Ini bukan pengakhiran. Perjalanan saya masih jauh dengan proses lanjutan di peringkat kehakiman seterusnya. Saya mahukan keadilan,” kata Najib.

Show More

KHAIRULANUAR YAHAYA

Penulis mempunyai pengalaman sebagai wartawan di Karangkraf, Bernama TV dan terakhir di Utusan Malaysia. 'Kehilangan' jurukamera ketika bertugas di Somalia sesuatu yang tidak pernah penulis lupakan.

Related Articles

Back to top button