NegeriPolitik

Sultan mempunyai kata putus mengenai PRN Johor

SULTAN Johor, Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar mempunyai kata putus sama ada Dewan Undangan Negeri (DUN) dibubarkan dan pilihan raya mengejut diadakan.

Peguam Bastian Pius Vendargon berkata kepada FMT hari ini, di bawah perlembagaan, hanya Menteri Besar atas kapasiti sebagai Ketua Eksekutif boleh menasihati raja untuk meminta pembubaran.

“Seperti yang dinyatakan di bawah Bahagian Kedua Perkara 7, Sultan mempunyai budi bicara sama ada untuk menerima permintaan Menteri Besar bagi pembubaran DUN,” katanya.

Vendargon berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bahawa beliau akan menyerahkan kepada Kerajaan Negeri Johor untuk menentukan sama ada pilihan raya mengejut perlu diadakan.

Kata Ismail Sabri, biar Kerajaan Negeri tentukan. Sekiranya Menteri Besar, Datuk Hasni Mohamad merasakan terdapat keperluan untuk pilihan raya negeri, mereka perlu mengadap Sultan Johor. Keputusan terletak sepenuhnya pada Kerajaan Negeri.

Vendargon berkata, menurut Perlembagaan Persekutuan dan Negeri, ketua negeri (Sultan) bertindak atas nasihat ketua kerajaan (Perdana Menteri, Menteri Besar atau Ketua Menteri).

“Bagaimanapun, ketua negeri mempunyai budi bicara, antara lain, mengenai pembubaran DUN dan pelantikan ketua kerajaan,” katanya.

Hasni mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar selepas kerajaan Pakatan Harapan (PH) ditumbangkan susulan Langkah Sheraton pada awal 2020, mengambil alih daripada Sahruddin Jamal (Bersatu).

Pada Isnin lalu, Hasni berkata, parti tidak mengadakan sebarang perjanjian mengenai Pilihan Raya Negeri (PRN).

Bagaimanapun, beliau mengakui kerajaan lebih tidak stabil selepas majoriti kerusi DUN berkurangan kepada satu berikutan kematian ADUN Kempas, Osman Sapian pada 21 Disember tahun lepas.

Kerajaan negeri pimpinan Barisan Nasional (BN) itu kini mempunyai 28 kerusi manakala PH mempunyai 27 kerusi.

Penggal lima tahun DUN hanya akan berakhir pada pertengahan tahun depan. – SM

(Visited 328 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button