Nasional

Dato’ Rahman Shaari penerima Anugerah Sastera Negara ke-15

TEKA-TEKI selesai dijawab. Segala pertanyaan sudah dilunaskan jawapannya. Hari ini, YBhg. Dato’ Rahman Shaari diumumkan sebagai penerima Anugerah Sastera Negara ke-15 yang membawa gelaran Sasterawan Negara.

Penganugerahan tersebut diumumkan oleh YB Datuk Dr. Mohd Radzi Jidin, Menteri Kanan Pendidikan Malaysia merangkap Pengerusi Panel Anugerah Sastera Negara ke-15.

Beliau dilahirkan di Kampung Gial, Perlis pada tahun 1949 dan menerima pendidikan di Sekolah Umum Guar Nangka dan Sekolah Derma Kangar.

Selepas itu, beliau menuntut di Universiti Kebangsaan Malaysia dan menyandang jawatan sebagai Profesor di Universiti Malaya pada tahun 2003. Kini, beliau merupakan Presiden Persatuan Penyair Malaysia (PENYAIR).

Kekuatan beliau dalam kesusasteraan adalah dalam genre puisi. Puisi – puisinya sarat dengan pemikiran serta memerlukan penafsiran yang mendalam.


Anugerah Sastera Negara (ASN) merupakan pengiktirafan tertinggi Kerajaan Malaysia kepada sasterawan yang telah memberikan sumbangan yang cemerlang dan berterusan dalam perkembangan kesusateraan tanah air.

Penilaian untuk pemilihan Sasterawan Negara ini dilaksanakan oleh panel yang dilantik khusus oleh Menteri Pendidikan Malaysia dan terdiri dalam kalangan sasterawan negara, tokoh akademik, pakar bahasa, serta panel yang mempunyai kepakaran khusus untuk penilaian ini.

Majlis Pengurniaan Anugerah Sastera Negara ke-15 akan disempurnakan oleh Yang di-Pertuan Agong pada suatu tarikh yang akan dimaklumkan oleh pihak Istana Negara.

 

(Visited 33 times, 1 visits today)

Show More

Related Articles

Back to top button