Nasional

Perjuangan martabatkan bahasa Melayu hangat-hangat tahi ayam, kata pejuang bahasa Inggeris sepanjang zaman

BARU-BARU ini saya menyaksikan lumba motosikal yang berlangsung di litar Sepang.

Perlumbaan itu didominasi oleh pelumba Malaysia. Yang menarik ketika diwawancara sebelum dan selepas perlumbaan, pelumba negara kita “bantai” bahasa Inggeris “broken” saja, walaupun siaran langsung di dalam bahasa Inggeris.

Yang penting semua orang faham, soal tatabahasa letak tepi. Teringat saya pelumba tersohor dunia Valentino Rossi yang bahasa Inggerisnya cukup makan saja. Bermakna janji orang faham sudahlah. Sebab bahasa ibunda Rossi ialah Sepanyol.

Untuk masyarakat umum bahasa Inggeris tidak begitu penting hinggalah kepada atlet dan bukan melibatkan mereka yang bertugas sebagai diplomat dan sebagainya.

Apa yang dilakukan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bukan sesuatu yang remeh dan hangat-hangat tahi ayam, kerana ia sangat penting melahirkan generasi yang yakin dengan diri sendiri walaupun mereka tidak fasih berbahasa Inggeris.


Mereka tidak perlu berasa rendah diri untuk duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi.

Golongan elit yang masih terbelenggu dengan pemikiran penjajah pasti akan menentang atau memperlekeh usaha Perdana Menteri.

Usaha sedemikian bukanlah pertama kali, tetapi sering kecundang separuh jalan kerana ditentang golongan elit pejuang bahasa Inggeris sepanjang zaman.

Datuk Seri Anwar Ibrahim juga pernah menjadi pejuang bahasa Melayu, tetapi akhirnya tenggelam begitu sahaja.

Tidak ada yang benar-benar menyahutnya dan kini buat pertama kali Perdana Menteri sendiri mengepalai pejuangan besar ini.

Seperti biasa golongan elit berfikiran penjajah ini seperti Kadir Jasin dengan pantas memperlekehkan dengan pelbagai alasan yang lucu.

Sampai ke Tanzania dia merapu untuk mengiyakan hujah sendiri. Yang sebenarnya mereka khuatir akan kehilangan cengkaman sebagai golongan elit yang menguasai negara ini.

Cuba periksa anak dan cucu golongan itu pastinya dihantar belajar ke England dan Amerika Syarikat bagi menjadi penyambung legasi mereka menguasai negara ini.

Jadi bagi golongan ini benda pertama yang perlu mereka pelajari ialah menerima hakikat dunia sudah berubah iaitu dengan hebat bertutur bahasa Inggeris tidak menjadikan mereka lebih hebat dan pandai daripada orang lain.

Mereka rasa hebat jika dapat memaki dan menyindir dalam bahasa Inggeris, kerana mereka ini tidak faham pun bahasa Melayu tinggi yang sangat berkuasa.

Sedangkan bahasa Melayu sangat tinggi tamadunnya cuma mereka tidak tahu kerana merasa terlalu bijak daripada bangsa dan bahasa sendiri.

Tengok sahajalah tulisan Kadir masih lagi menggunakan ejaan lama, bermakna pengetahuannya tentang bahasa sendiri sangat sempit dan tidak berkembang.

Mereka ini menjadi golongan yang merasakan mereka tahu segala-galanya dan mahu memaksa pemikiran penjajah mereka kepada masyarakat.

Untuk makluman Kadir Bursa Saham Indonesia adalah yang paling baik prestasinya dirantau ini walaupun Jokowi dan 300 juta  penduduknya bertutur dalam bahasa Indonesia. Rakyat Indonesia sangat patriotik dan begitu juga rakyat negara China, Jepun dan Korea.

Filem Korea mendapat pengiktirafan dunia bahkan penyanyi Selena Gomez artis Amerika Syarikat dan Dua Lippa artis dari British terpaksa bergabung dengan kumpulan Black Pink dari Korea untuk menaikkan populariti mereka.

Saya hendak kongsi sedikit pengalaman saya dengan seorang eksekutif syarikat dari Korea yang berketurunan Korea, menceritakan bagaimana dia berkursus bahasa Melayu selama dua bulan, sebelum ditukarkan ke Malaysia.

Sekali apabila datang ke Malaysia dia dapati semua orang bertutur bahasa Inggeris dia hanya ketawa sendiri.

Begitulah betapa lemah jati diri kita. Cukup-cukuplah berfikiran sempit. Jika tidak dapat menyumbang buah fikiran yang bernas, lebih baik berdiam diri. Jangan jadi lalat yang hanya nampak kotoran dan kejelekan hingga tidak dapat menghayati keharuman dan keindahan bunga.

 

 

(Visited 116 times, 1 visits today)

Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button