fbpx
Politik

Sumbangan Qatar AS$50j: Dr. Wan Azizah jawab Ahmad Zahid

SUMBANGAN AS$50 juta oleh Qatar bagi bantuan kepada pelarian Rohingya yang berada di Malaysia tidak pernah disalurkan kepada kerajaan tetapi diberi terus oleh kerajaan Qatar melalui Qatar Charity (QC) kepada badan-badan bukan kerajaan (NGO) yang terlibat.

Bekas Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail berkata, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi sebagai Presiden UMNO iaitu parti dalam kerajaan Perikatan Nasional sepatutnya boleh medapatkan segala maklumat berkaitan dana tersebut daripada Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.

“Apabila Pakatan Harapan mengambil alih Putrajaya pada Mei 2018, kami dimaklumkan akan hasrat Qatar untuk menyalurkan bantuan ini sejak 2016 lagi, dan kami bersyukur dapat menjadikannya satu kenyataan dalam tempoh tidak sampai 18 bulan selepas kami ke Putrajaya.

“Bantuan kemanusiaan pelarian Rohingya di Malaysia ini menggunakan peruntukan Qatar Fund for Development (QFFD) dalam tiga sektor, iaitu kesihatan, pendidikan dan mandiri kehidupan (“livelihood”),” kata Dr. Wan Azizah.

Menurut Ahli Parlimen Pandan itu, bagi pelaksanaan sektor kesihatan satu perjanjian projek telah dimeterai pada 13 September 2019 di antara Yayasan Kebajikan Negara, Qatar Charity dan tiga buah NGO iaitu Mercy Malaysia, Persatuan Perubatan Islam Malaysia (IMARET) dan Malaysia Relief Agency (MRA).


Perjanjian tersebut adalah untuk tempoh setahun sehingga 12 September 2020 dan akan disambung setiap tahun selama tiga tahun dengan peruntukan tahunan sebanyak AS$5 juta atau AS$15 juta untuk tiga tahun.

“Pada ketika berlaku peralihan kuasa di Putrajaya, pelaksanaan sektor pendidikan berada di peringkat penilaian oleh Qatar Fund for Development manakala perbincangan belum bermula bagi sektor mandiri kehidupan.

“Walaupun Kerajaan Qatar memberi komitmen untuk menyalurkan bantuan ini selama tiga tahun, ia juga memberi iltizam akan kelestarian program ini yang memungkinkan ia disambung selepas tiga tahun mengikut keperluan pada waktu tersebut,” jelas Dr. Wan Azizah.

BACA Ahmad Zahid mahu PH perjelaskan sumbangan AS$50 juta Qatar untuk Rohingya

Semalam, Ahmad Zahid menggesa pemimpin Pakatan Harapan memberi penjelasan terperinci perbelanjaan dana berjumlah AS$50 juta (RM198.9 juta) hasil sumbangan Qatar untuk pelarian Rohingya.

Ahmad Zahid berkata, Dr Wan Azizah  dalam Facebook beliau pada 25 November 2018 mengakui menerima sumbangan tersebut daripada kerajaan Qatar.

Bekas Menteri Dalam Negeri menimbulkan isu pemberian dana tersebut selepas beberapa perkongsian di Facebook menuduh beliau telah menerima dana dari Qatar Development Fund dan dimasukkan ke akaun persendirian.

Ahmad Zahid mendakwa, tuduhan yang dilemparkan terhadap beliau itu adalah fitnah dan bertujuan mengaibkan dirinya.-SM

Show More

KHAIRULANUAR YAHAYA

Khairulanuar mempunyai pengalaman sebagai wartawan di Karangkraf, Bernama TV dan terakhir di Utusan Malaysia. Pernah membuat liputan kemanusiaan di Gaza, Pakistan, Jepun, Somalia, Lubnan dan Syria. 'Kehilangan' jurukamera, Noramfaizul ketika sama-sama bertugas di Somalia sesuatu yang tidak pernah beliau lupakan.

Related Articles

Back to top button