Nasionalpilihan

Tindakan Iran sah ekoran serangan biadab rejim zionis

Pelancaran dron-dron oleh Iran merupakan tindakan yang sah berikutan serangan biadab oleh rejim Zionis Israel terhadap Kedutaan Iran di Damsyik.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Malaysia juga berpuas hati dengan jaminan yang diberi oleh kerajaan Iran bahawa ia tidak akan mengambil apa -apa lagi tindakan, kecuali diserang oleh rejim Zionis Israel.

“Bersama negara-negara bertamadun yang lain, Malaysia menggesa rejim Zionis Israel untuk tidak mengambil apa-apa lagi tindakan balas yang akan memburukkan lagi keadaan tegang di Timur Tengah.

“Terdapat tanda yang jelas bahawa masyarakat antarabangsa tidak mahu melihat keadaan yang lebih buruk lagi.

“Setakat ini, perkembangan ini memberikan kesan yang kecil kepada negara. BSKL dibuka dengan kejatuhan yang amat kecil, yang mencerminkan trend serantau.

“Walau apapun, kerajaan Madani akan terus memantau perkembangan ini dengan teliti dan akan mengambil langkah-langkah proaktif untuk memastikan bahawa keselamatan, kebajikan dan kesejahteraan rakyat akan sentiasa terjamin. Kepentingan negara akan sentiasa menjadi matlamat utama.

“Kunci penyelesaian kepada isu ini ialah penyelesaian serta-merta yang adil terhadap keadaan yang tidak berperikemanusiaan yang melanda Gaza.

“Oleh itu, perhatian masyarakat antarabangsa mesti ditumpukan kepada isu ini, tanpa gangguan lain. Gencatan senjata yang berkekalan mesti diwujudkan untuk membolehkan bantuan kemanusiaan disalurkan. Dalam hal ini, sumbangan Malaysia terbaru sebanyak 100 kontena dijangka akan berlepas pada 27 April 2024,” katanya.

Pada pagi semalam Perdana Menteri telah mempengerusikan Mesyuarat Khas Sidang Majlis Keselamatan Negara. Mesyuarat tersebut telah dihadiri oleh Timbalan Perdana Menteri 1, Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid bin Hamidi, Menteri Pertahanan, Dato’ Seri Mohamad Khaled bin Nordin, Menteri Dalam Negeri, Senator Datuk Seri Saifuddin Nasution bin Ismail, Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Utama Mohamad bin Hasan, Tan Sri Mohd. Zuki bin Ali, Ketua Setiausaha Negara dan pegawai-pegawai kanan kerajaan yang lain.

Tujuan mesyuarat itu ialah untuk berbincang lanjut situasi tegang di Timur Tengah, mengambilkira perbincangan yang telah diadakan semalam.

Mesyuarat yang diadakan dua hari berturut-turut menunjukkan perhatian serius kerajaan Madani terhadap isu ini, dan juga usaha yang diambil untuk memastikan bahawa Malaysia dan rakyatnya tidak terjejas oleh perkembangan ini. – SM

(Visited 24 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button