Nasional

KPDNHEP berjaya capai sasaran aspirasi 100 hari Keluarga Malaysia

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) berjaya mencapai sasaran Aspirasi Keluarga Malaysia (AKM) 100 hari melalui kejayaan Program Pembangunan Francais Mikro dan Francais Mampu Milik.

Menterinya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, program yang memberi impak langsung kepada 35 penerima geran penuh dan padanan bagi mengembangkan perniagaan ke tahap yang lebih tinggi itu, bertindak sebagai ‘push factor’ dalam memperkasakan ekonomi secara berperingkat yang memberi kesan positif pada sosioekonomi dan rakyat.

“Walaupun belum 100 hari tetapi kita sudah capai lebih daripada 35 penerima mengikut bajet yang diberi kepada kita iaitu RM4.5 juta sahaja, untuk kita bangunkan program ini dan beri bantuan kepada mereka.

“Pada mulanya, kita sasarkan kepada 35 penerima namun kini kita sudah melepasi 37 dan dalam beberapa hari lagi, mungkin kita boleh tambah lagi (penerima). Jadi itu sudah melepasi sasaran kita dan telah dicapai 100 peratus,” katanya dalam program Ruang Bicara yang membincangkan tajuk Aspirasi Keluarga Malaysia (AKM) Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna malam Sabtu.

Alexander  berkata, pengecualian kawal selia gas petroleum cecair (LPG) di Sarawak di bawah Akta Kemajuan Petroleum (PDA) 1974 dan Akta Kawalan Bekalan (CSA) 1961 serta kebenaran SEDC Energy Sdn Bhd menjadi syarikat minyak baharu merupakan antara kejayaan petunjuk prestasi utama (KPI) kementeriannya bagi merancakkan industri petroleum dan gas selaras dengan komitmen kerajaan terhadap Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

“Berkenaan dengan pengecualian kawal selia itu, kita sudah beri surat lantikan kepada pihak-pihak berkenaan di Sarawak dan itu juga sudah dicapai 100 peratus.

“Kita ke depan dalam hal ini untuk kita bantu kementerian dan pihak berkuasa di Sarawak bagi memastikan penguatkuasaan ini berjalan lancar,” katanya.

Dalam pada itu, Nanta berkata, kementeriannya turut meletakkan sasaran untuk menjaga hak dan kesejahteraan pengguna dalam mengharungi fasa pandemik Covid-19 dengan penetapan KPI dalam menurunkan harga maksimum jualan produk Kit Ujian Pantas Antigen (RTK) Covid-19 di pasaran.-SM

(Visited 258 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button