fbpx
Nasional

Covid-19: Persiapan rapi bawa balik rakyat Malaysia di Itali, Iran

Kementerian Luar sedang membuat persiapan rasmi bagi membawa pulang dengan segera warganegara Malaysia di Itali dan Iran yang kini terjejas teruk akibat wabak virus Covid-19.

Menteri Luar Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussien berkata, Wisma Putra melalui Perwakilan Malaysia di kedua-dua negara tersebut sedang melaksanakan persiapan yang diperlukan bagi membantu melancarkan proses membawa pulang rakyat Malaysia di negara terbabit.

“Seperti yang diumumkan oleh YAB Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin kelmarin, 323 orang rakyat Malaysia di Itali dan 65 orang rakyat Malaysia di Iran akan dibawa pulang ke tanah air.

“Keputusan ini dibuat antara lain mengambil kira maklumat Wisma Putra berhubung situasi semasa di Itali dan Iran yang saya kongsikan kepada YAB Perdana Menteri sewaktu Mensyuarat Khas #Covid19 kelmarin,” kata Hishammuddin.

Antara yang dilakukan termasuk mengenal pasti kedudukan semua rakyat Malaysia di sana serta memastikan mereka mendaftarkan diri dengan Perwakilan Malaysia di negara terbabit.


Menurut Hishammuddin, amat penting bagi warganegara Malaysia untuk membuat pendaftaran bagi memudahkan mereka mendapat maklumat yang tepat serta terkini berhubung misi membawa mereka pulang.

Justeru beliau menasihatkan rakyat Malaysia di Itali dan Iran serta semua negara yang terjejas akibat Covid-19 agar kekal tenang serta bersabar.

“InsyaAllah, kerajaan termasuk Wisma Putra akan bantu yang terbaik. Yang penting, pastikan berhubung dari masa ke masa dengan Perwakilan kita di sana. Marilah kita doakan semoga semua berjalan lancar,” kata Hishammuddin.

Kedutaan Malaysia di Iran boleh dihubungi melalui telefon nombor  00(9821)8807 2444 dan
emel [email protected]

Sementara Kedutaan Malaysia di Itali  boleh dihubungi di talian  +39 068415764 atau +39 068417026 atau +39 068411339 atau emel  [email protected]

Ketika ini Itali merupakan negara kedua selepas China mempunyai jumlah jangkitan tinggi  iaitu sebanyak 21,157 kes dan kematian yang tinggi iaitu 1,441 orang.

Manakala Iran pula berada dikedudukan ketiga dengan jumlah kes sebanyak 12,729 orang dan kematian sebanyak 514 orang.-SM

Show More

KHAIRULANUAR YAHAYA

Khairulanuar mempunyai pengalaman sebagai wartawan di Karangkraf, Bernama TV dan terakhir di Utusan Malaysia. Pernah membuat liputan kemanusiaan di Gaza, Pakistan, Jepun, Somalia, Lubnan dan Syria. 'Kehilangan' jurukamera, Noramfaizul ketika sama-sama bertugas di Somalia sesuatu yang tidak pernah beliau lupakan.

Related Articles

Back to top button