Nasional

PKP 3.0: Saya tak nak rakyat terkorban, ekonomi runtuh – PM

PERDANA Menteri Tan Sri Muhyiddin Mohd. Yassin menegaskan prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 dibuat berdasarkan situasi semasa dengan melihat kepentingan rakyat dan ekonomi negara,

Muhyiddin berkata, secara peribadi beliau mahu SOP PKP 3.0 dilaksanakan seketat PKP 1.0 namun ia boleh memberi kesan terhadap rakyat dan ekonomi negara.

“Kalau tanya secara peribadi, itu terbaik. Tutup semua, kilang tutup, duduk rumah. Terjamin selamat, mudah kerajaan dan Kementerian Kesihatan.

“Awal dulu kita tidak ada pengalaman. Kesan kepada ekonomi sebanyak RM2.4 bilion kos sehari. Berapa kerugian kita?

“Kalau nak buat lagi saya kena sediakan setengah triliun ringgit sistem runtuh. Kita tak boleh tutup ekonomi. Saya tak nak lihat rakyat terkorban dan ekonomi runtuh,” tegasnya.

Muhyiddin berkata demikian dalam rancangan Bicara Khas bersama YAB Perdana Menteri yang disiarkan secara langsung di stesyen televisyen tempatan selama satu jam bermula pukul 9 malam tadi.

Perdana Menteri berkata, dia tidak marah sekiranya digelar sebagai bodoh  dalam tindakan yang diambil untuk mengatasi masalah Covid-19. Ini kerana sebarang langkah yang diambil dalam mengetatkan PKP  bukan mudah.

Menurutnya, beliau berasa sedih kerana PKP yang ketat pada ketika mula diperkenalkan dahulu menyebabkan rakyat mengalami kesukaran.

“Bolehlah salahkan kerajaan, marahkan perdana menteri pun tak apa. Saya terima, rakyat kata bodoh perdana menteri. Saya kata tidak apalah. Saya tahu tahu betapa susah nak menguruskan. Jadi ini satu tanggungjawab bersama.

“Kita kena terima hakikat ini adalah masalah bersama. Ini bukan soal keseluruhan kerajaan, tetapi keseluruhan masyarakat. Seluruh masyarakat mesti berganding bahu baru kita boleh landaikan lengkok Covid-19. Insya-Allah,” kata Muhyiddin.

Menurutnya, segala perancangan kerajaan ketika ini dalam mengatasi impak Covid-19 sudah pun mula menunjukkan kesan yang positif kerana langkah-langkah untuk memulihkan ekonomi sudah dimulakan sejak sekian lama.

“Perancangan kita sudah pun melihatkan kesannya. Satu mungkin Covid belum selesai, tetapi ekonomi kita sudah ada tanda peningkatan. Terkini untuk suku pertama tahun ini sudah ada 0.3 atau 0.5 peratus tak silap saya. Dia positif daripada dulu negatif 17 ke bawah dah naik.

“Eksport kita meningkat, import kita meningkat. Jumlah pekerja yang kita ambil 150,000 lebih daripada jadual. Hampir sebahagian besar mensasarkan satu jangkaan peratusan lebih besar daripada biasa. Dan orang sudah bekerja.

“Sebab itu unjuran antarabangsa dan Bank Negara ialah pertumbuhan antara 6.5 peratus ke tujuh peratus tahun ini. Sekarang sudah positif, belum sampai ke situ masih ada masa enam, tujuh bulan lagi. Insya-Allah ini kita akan lihat tercapai,” katanya.-SM

(Visited 186 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button