fbpx
Luar Negara

Coronavirus: Korban di Iran meningkat 300, Lubnan, Maghribi catat kematian pertama

JUMLAH korban akibat coronavirus atau COVID-19 di Iran meningkat kepada 291 orang pada Selasa, manakala Lubnan dan Maghribi mencatatkan kes kematian pertama, lapor agensi berita Xinhua.

Kementerian Kesihatan dan Pendidikan Perubatan Iran melaporkan 881 kes baharu dengan 54 lagi kematian. Setakat ini, sejumlah 8,042 orang dijangkiti dan 2,731 pulih, sejak kes pertama dikesan pada 19 Februari.

Di Beirut, Menteri Kesihatan Hamad Hassan mengumumkan kematian pertama melibatkan individu yang tiba dari Mesir beberapa hari lalu.

Di Rabat, Kementerian Kesihatan dalam satu kenyataan berkata seorang wanita berusia 89 tahun meninggal dunia di Casablanca, menjadikan ia kes kematian pertama.

Kementerian Kesihatan dan Pencegahan Emiriah Arab Bersatu (UAE) pula melaporkan 15 kes baharu COVID-19,  menjadikan jumlah keseluruhan kes disahkan sebanyak 74.

Kes baharu turut dilaporkan di Itali iaitu sebanyak tiga kes, masing-masing dua di  UAE, Britain, Sri Lanka dan India manakala empat kes di Jerman, Tanzania, Afrika Selatan dan Iran.

Di Lubnan, Hospital Universiti Rafic Hariri mengesahkan 11 kes baharu, menjadikan jumlah pesakit dijangkiti seramai 52 orang.

Di Israel, Kementerian Kesihatan mengumumkan lapan lagi orang didiagnosis dengan COVID-19 menjadikan keseluruhan kes bertambah kepada 58 orang.

Di Kaherah, Menteri Kesihatan Hala Zayed melaporkan lima kes baharu dengan keseluruhan pesakit 59 orang, termasuk 33 rakyat Mesir dan 26 warga asing.

Kuwait pula mengumumkan empat kes baharu menjadikan jumlah kes disahkan 69.

Sementara pihak berkuasa Palestin mengatakan sehingga kini 30 orang dijangkiti virus maut itu termasuk empat kes baharu yang dilaporkan di bandar pelancongan Bethlehem.

Pada Selasa Tunisia turut mengumumkan satu lagi kes, menjadikan keseluruhan sebanyak enam kes manakala Maghribi melaporkan tiga, termasuk seorang pelancong Perancis yang tiba di Marrakech pada Sabtu.

Berikutan peningkatan kes, beberapa negara mengambil pelbagai langkah pecegahan, termasuk rejim Israel yang menutup stesen kereta api di Lapangan Terbang Antarabangsa Ben-Gurion untuk penumpang yang tiba dari luar negara, bermula Rabu, selain turut melarang acara yang disertai lebih 2,000 orang.

Kerajaan Maghribi pula mengumumkan menggantung semua penerbangan keluar dan masuk dari Itali, negara Eropah yang paling teruk terjejas sementara Palestin menggantung perjalanan dari Tebing Barat ke Jordan.

Kementerian Sukan dan Belia Algeria berkata semua acara sukan tempatan akan diadakan tanpa kehadiran penonton manakala kejohanan antarabangsa ditangguhkan.

Melihat kepada sudut positif pula, Kementerian Kesihatan Iraq pada Selasa mengumumkan 15 pesakit pulih.

Di Damsyik, tiada kes baharu didaftarkan namun Syria masih menggantung penerbangan ke Iran dan Iraq pada Isnin.

Sementara itu, Kementerian Perumahan Mesir mengatakan wabak COVID-19 tidak memberi kesan kepada projek yang dilaksanakan oleh syarikat China di Mesir. – BERNAMA

Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button