Rencana

Cerita Makcik Kiah ada yang terlebih terangsang

ZAMAN televisyen bersiaran hitam putih dan tiada internet terdapat sebuah novel lucah bernama Mona Gersang.

Novel itu tidaklah selucah bahan porno yang dipaparkan di dalam internet pada hari ini. Tetapi ia menjadi cukup popular.

Di Utusan Malaysia terdapat satu ruangan tulisan wartawan Wahid Kasran yang akhirnya ditamatkan kerana terlalu ramai yang terangsang membaca ruangan yang tidaklah selucah mana.

Bagi mereka yang imaginasi seksual yang sangat tinggi cerita tentang daun keladi dan timun serta pisang sahaja sudah cukup membuat mereka terangsang.

Semalam kisah Makcik Kiah juga telah membuatkan ramai terangsang. Golongan haiwan politik akan menggonggong apa sahaja yang menghairahkan nafsu politik mereka.

Nafsu bercampur amarah ditendang dari kerusi empuk kerajaan membuatkan mereka tuli telinga dan buta mata hati dengan masalah majoriti rakyat.

Apa yang penting adalah dapat membalas dendam dengan membuat komen yang negatif. Dan serangan mereka memang telah dapat dijangka dan kelihatan terancang.

Mereka seolah-olah mempunyai kumpulan WhatsApp untuk mengarahkan serangan ditujukan kepada kerajaan. Namun sesetengahnya pula hanya terbawa-bawa oleh fahaman politik fanatik dan sempit semata-mata.

Kisah Makcik Kiah mewakili golongan berpendapatan rendah atau golongan miskin di bandar mahupun di bandar yang merupakan komposisi utama populasi penduduk di negara ini.

Jadi apabila Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin bercerita kisah bagaimana manfaat diperolehi Makcik Kiah dengan pakej rangsangan ekonomi diumumkan semalam, dan ramai yang tersentuh.

Ia boleh dilihat dari komen-komen di media sosial yang merasakan Perdana Menteri sangat memahami apa yang dialami oleh rakyat dan hingga tidak ada golongan yang tidak mendapat manfaat daripadanya.

Muhyiddin hanya bercerita secara kasar manfaat yang diperolehi, tetapi ramai pula yang tunjuk pandai dan mereka sudah pastinya dari pihak yang kehilangan jawatan dan kepentingan dari kerajaan sebelum ini.

Mereka ini akan berusaha mencari kelemahan kerajaan diterajui Muhyiddin dan mencuba memperbesarkannya walaupun dengan cara tidak logik.

Ada yang berhujah seolah-olah bijak pandai dan ada yang cuba berhujah seperti orang yang bijak tetapi sebenarnya sangat dangkal dan tidak berpengetahuan.

Semua orang tahu hutang yang ditangguhkan pembayaran, tetap akan perlu dibayar kelak, tetapi sekurang-kurangnya ia memberi ruang untuk peminjam bernafas sedikit ketika kewangan yang meruncing.

Jika tanpa arahan kerajaan, tidak mungkin bank akan menangguhkan pembayaran, bahkan jika terlewat sedikit sahaja mereka akan memburu hingga ke lubang cacing.

Tidak cukup dengan panggilan telefon mendesak dan mengugut, bahkan surat peguam juga akan menyusul. Dan lebih buruk semua itu bukannya percuma dan akan dikenakan bayaran kepada peminjam.

Golongan yang pernah menjadi buruan pihak bank kerana pinjaman, pasti memahaminya dan segala skil yang ada tidak akan cukup untuk menyelamatkan diri daripada dikejar pihak bank.

Jadi apabila arahan dikeluarkan oleh pihak kerajaan bank semua akur dan tidak perlulah sampai para peminjam diisytihar muflis dan disenaraikan hitam serta pelbagai lagi tindakan kejam tanpa memperdulikan kesukaran dialami peminjam.

Langit tidak selalu cerah, akan tiba satu hari nanti pihak yang ego dan berlagak bijak ini akan merasakan apa yang dialami golongan berpendapatan rendah dan terjejas dengan situasi semasa ini.

Paling lucu adalah ahli-ahli parlimen sebelum ini cukup sukar untuk hadir ke Dewan Rakyat kerana pelbagai alasan, tetapi kini ghairah pula mahu membawa pakej rangsangan itu untuk dibahaskan di Parlimen.

Sedangkan kantung rakyat semakin kekeringan dan mereka memerlukan wang tunai segera untuk membeli makanan. Golongan seperti Makcik Kiah perlukan penyelesaian segera.

Memang cemas apabila mendengarkan pakej rangsangan sebanyak RM250 bilion. Ramai juga yang tertanya dari mana kerajaan mendapatkan wang sebanyak itu, sedangkan sebelum ini kerajaan terdahulu beratib negara akan bankrap dan banyak berhutang.

Apa yang dilakukan kerajaan hari ini telah menyebabkan segala pembohongan mereka atau tembelang mereka pecah.

Jadi pakej rangsangan belum lagi dilaksanakan tetapi pihak pembangkang pula yang terlebih terangsang.

Sepatutnya mereka tidak perlu membuka pekung mereka sendiri di khalayak ramai. Rakyat berdiam diri walaupun tahu mereka telah gagal selama 22 bulan menjadi kerajaan.

Sebab itulah apabila kerajaan yang penuh kebobrokan itu tumbang, tidak ada sebarang tunjuk perasaan atau rusuhan bagi membantahnya.

Majoriti rakyat sudah tidak tahan dengan kerajaan yang begitu banyak berbohong dan melakukan kerosakan dan tidak dapat dibayangkan jika kerajaan yang sama memerintah dalam situasi gawat sebegini.

Rakyat kini sangat bersyukur dengan kerajaan hari ini, sepatutnya marilah bersama-sama membantu kerajaan berdepan dengan situasi getir ini dan bukannya menjadi iblis menghasut dengan menyebarkan cerita yang tidak benar dan separuh benar.

Jadilah ahli politik yang matang. Pilihan raya umum tidak terlalu lama lagi. Bertandinglah dan jika mereka bekerja untuk rakyat sudah tentu rakyat akan memilih untuk menduduki kembali kerusi pemerintahan di Putrajaya.

Tetapi melihatkan sikap mereka hari ini, sudah pasti rakyat akan mencampak mereka ke lubang hitam yang sangat dalam sehingga mereka tidak akan lagi menemui jalan pulang.

Pakej Prihatin: Teks penuh pengumuman Tan Sri Muhyiddin Yassin

 

(Visited 15,542 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button