Nasional

Kadir Jasin kata pakej Makcik Kiah tertipu

WARTAWAN veteran, Datuk A Kadir Jasin menyifatkan pakej yang diumumkan oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam sebagai pakej Makcik Kiah tertipu.

Beliau mendakwa daripada RM250 bilion yang diumumkan oleh Perdana Menteri itu, hanya sekitar RM22 bilion sahaja duit kerajaan. Selebihnya adalah duit rakyat.

“Kalau begitu, dari manakah datangnya baki RM228 bilion pakej itu? Jawabnya daripada duit rakyat jelata sendiri yang wujud dalam berbagai-bagai bentuk dan di bermacam-macam tempat.

“Msalnya, RM100 bilion adalah dalam bentuk penangguhan bayaran balik hutang rakyat jelata kepada bank. Duit kita sendiri. Bank hanya tangguh sementara. Lambat laun kena bayar juga,” kata wartawan veteran itu dalam artikelnya yang ditulis di blog The Sribe A Kadir Jasin.

Selain itu katanya, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP/EPF) benarkan yang ada simpanan untuk keluarkan sebahagian daripadanya. Jumlah itu dianggarkan RM40 bilion. Sekali lagi duit rakyat, bukan duit kerajaan.

Rakyat juga katanya, dibenarkan tangguh caruman kepada KWSP dan kepada Pembangunan Sumber Manusia Berhad (PSMB) atau Human Resource Development Fund (HRDF) untuk selama enam bulan yang jumlah besarnya RM6 bilion serta jaminan pinjaman daripada Danajamin sebanyak RM50 bilion.

“Muhyiddin bagi contoh seorang suri rumah yang dia bagi nama Makcik Kiah. Makcik Kiah ni suami dia pesara tapi terus bekerja sebagai pemandu Grab dan ahli Rela, ada anak seorang.

“Tapi bukan semua orang macam Makcik Kiah. Muhyiddin kata, dengan semua kemudahan yang dia umumkan itu, Makcik Kiah dan keluarganya akan dapat penjimatan RM4,464.

“Tapi penjimataan sebenar hanyalah RM864 pasal pinjaman kereta (RM1,800), PTPTN (RM1,200) dan kredit mikro (RM600) yang jumlahnya RM3,600 akhirnya kena bayar balik juga.

“Sebenarnya Makcik Kiah hanya jimat sewa rumah PPR sebanyak RM744 dan bil letrik RM120 sebulan. Jadi yang Makcik Kiah jimat hanyalah RM864 bukan RM4,464.

“Macam mana pula dengan Makcik Limah, seorang suri rumah yang tinggal di Kampung? Suaminya bekerja di kedai tomyam bergaji hari. Anak tiga orang masih di sekolah rendah. Jumlah bantuan prihatin RM1,600 dan baki Bantuan Sara Hidup RM600. Jumlah semuanya RM2,200. Jauh lebih rendah daripada yang Muhyiddin sebut dalam ucapan di televisyen,” dakwa Kadir.

BACA:

Lagi pula dakwa beliau, bantuan kepada Mak Cik Kiah bukan setiap bulan tapi hanya sekali sahaja dan akan dibayar dua kali, setengah setengah.

Pada masa sama katanya, ramai orang akan hilang pekerjaan tetapi kerajaan hanya bayar RM600 subsidi upah kepada majikan.

Syarikat yang tidak ada pendapatan katanya, akan tetap buang pekerja atau tutup terus.

“RM600 terlalu sedikit bagi membantu atau menggalakkan majikan terus bayar gaji atau mengekalkan pekerja. Sebagai perbandingan, Kerajaan Singapura bayar sehingga 75% daripada gaji pekerja.

“Jika gaji S$4,500 Kerajaan Singapura bayar S$3,375 untuk tempoh sembilan bulan. Kita bagi tiga bulan sebanyak RM600. Ini tidak cukup untuk mengelak jutaan pekerja kilang daripada dibuang.

“Bantuan baru kepada mereka yang hilang sumberpendapatan kerana dibuang kerja antara RM500 dan RM1,600 (bantuan prihatin) pun dibayar sekali saja.

“Sebagai perbandingan, kos sara hidup di Kuala Lumpur untuk suami isteri dan dua orang anak adalah RM6,700 sebulan.

“Di Singapura, kerajaan bagi S$800 (kira-kira RM2,400) sebulan selama tiga bulan kepada yang hilang pekerjaan. Bagi yang kerja sendiri, kerajaan mereka bagi S$1,000 (RM3,000) sebulan selama sembilan bulan. Kita bagi sekali saja,” tulis Kadir.

Selain itu kata wartawan veteran itu, walaupun Kementerian Kewangan kata kadar pertumbuhan ekonomi dijangka tidak turun di bawah sifar (0 peratus), tetapi ramai ahli ekonomi menganggarkan yang ekonomi akan menguncup dan sekurang-kurangnya sejuta orang akan hilang pekerjaan.

“Kesimpulannnya, Mak Cik Kiah janganlah mudah tertipu. Bantuan yang diberikan terlalu kecil dan tidak mencukupi untuk mengatasi mala petaka ekonomi ini.

“Kerajaan masih kedekut. Peruntukan kewangan sebenar hanyalah sekitar RM22 bilion bukan RM250 bilion seperti yang diuar-uarkan.

“Malah jumlah ini termasuk RM20 bilion daripada pakej yang diumumkan oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad pada 27 Februari lalu.

“Orang yang tidak faham ekonomi dan kewangan tentu seronok sebab dapat sedikit bantuan yang meringankan sedikit beban.

“Tapi orang faham ekonomi dan kewangan akan membuat analisis dan simulasi yang lebih luas dan mendalam,” demikian tulis Kadir. – SM

(Visited 427 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button