fbpx
Jenayah

Cakap nak cari kerja, rupanya merompak

DI waktu orang lain benar-benar terdesak nak mencari kerja, seorang lelaki sanggup menggunakan alasan sama tetapi dengan niat untuk merompak.

Itu helah yang digunakan seorang suspek lelaki sebelum menyamun sebuah hotel di Petaling Jaya pada pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd. Faisal berkata, suspek pada mulanya telah hadir ke hotel berkenaan dan berpura-pura nak cari kerja.

“Suspek telah mengacukan sebilah pisau kepada seorang daripada pekerja hotel tersebut sebelum melarikan wang tunai berjumlah RM300 yang disimpan dalam mesin tunai,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Namun, menurut Nik Ezanee, pihaknya telah membuat serbuan ke sebuah rumah di Jalan Pantai Dalam, Taman Angkasa, Kuala Lumpur pada hari sama kira-kira 10.30 malam.


Antara barangan yang dirampas dalam serbuan ke rumah suspek di Kuala Lumpur, malam semalam. – Gambar IPD Petaling Jaya

Ujarnya, hasil serbuan berjaya menahan seorang lelaki yang dipercayai telibat dengan samun di hotel berkenaan.

“Semakan rekod jenayah lampau mendapati suspek pernah terlibat dengan lima kes jenayah samun di sekitar Petaling Jaya.

“Polis turut menemukan beberapa barangan yang dipercayai digunakan suspek untuk menyamun seperti sebilah pisau panjang berukuran 20 sentimeter, sepasang kasut, jam tangan pelbagai jenama, beg sandang computer riba dan wang tunai,” katanya.

Tambahnya, suspek telah ditahan reman selama tujuh hari bermula semalam dan kes disiasat di bawah Seksyen 392/397 Kanun Keseksaan. -SM

Show More

Related Articles

Back to top button